SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) dijangka memuktamadkan kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan mesyuarat khas pada 7 Oktober ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, rundingan dengan pihak-pihak berkaitan kini mencapai kira-kira 95 peratus dan hanya menunggu pengumuman SPR sebelum keputusan rasmi dibuat.
Beliau berkata, perbincangan sudah diadakan dengan dua gabungan politik, dipercayai merujuk kepada PAS dan Pakatan Harapan (PH), namun enggan mendedahkan identiti pihak terbabit secara terperinci.
Menurutnya, BN akan mengadakan pertemuan berasingan dengan kedua-dua pihak di Kuala Lumpur sebelum memuktamadkan bentuk kerjasama yang bakal dibentuk.
“Kedua-duanya telah kami adakan perbincangan. Sebenarnya, kami akan menunggu pengumuman SPR pada 7 Oktober dan selepas itu akan ada pengumuman untuk memuktamadkan dengan gabungan mana yang harus kita bersama atau mengadakan jalan kesepakatan untuk bergerak dalam PRN Melaka.
“Perkara itu hampir 95 peratus selesai,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Penutup Wacana Semarak Patriotisme: Seminar Ilmuwan Islam di Universiti Teknologi MARA (UiTM), hari ini.
Mengulas kemungkinan BN menjalinkan kerjasama dengan PH, Zahid yang juga Presiden UMNO menegaskan partinya tidak menutup pintu kepada sebarang rundingan dengan gabungan itu.
“Kami sangat terbuka,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Zahid berkata keputusan mengenai penggunaan logo BN oleh PAS dalam PRN Melaka masih belum dimuktamadkan.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan PAS menggunakan lambang partinya sendiri sekiranya kerjasama antara kedua-dua parti dimeterai.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata rundingan pembahagian kerusi antara PAS dan UMNO bagi PRN Melaka sudah mencapai kira-kira 90 peratus.










