Remaja 16 Tahun Direman Enam Hari Berkait Kes Bunuh Irene Sofiya

BATU PAHAT: Remaja lelaki berusia 16 tahun yang disyaki membunuh seorang pelajar perempuan sebaya di sebuah sekolah di Yong Peng, direman selama enam hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suspek ditahan kira-kira jam 7 malam semalam di sekitar Yong Peng, kira-kira sejam selepas polis menerima maklumat mengenai kejadian itu.

Menurutnya, polis menerima laporan daripada orang awam pada jam 5.50 petang selepas mangsa ditemukan tidak sedarkan diri dalam keadaan berlumuran darah di sebuah dewan sekolah.

Mangsa mengalami beberapa kecederaan pada bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Bedah siasat dijalankan hari ini di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.

Ab Rahaman berkata, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala polis turut merampas sebuah telefon bimbit, sepasang pakaian dan sepasang selipar bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau berkata, motif serta punca kejadian masih dalam siasatan dan orang ramai diminta tidak membuat spekulasi atau mengeluarkan komen yang boleh mengganggu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Polis Johor di talian 019-2792095 atau Bilik Gerakan Polis Kontinjen Johor di 07-2212999.

BBerkaitan

Latest articles