SEREMBAN: Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan menolak dakwaan bahawa Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mencampuri urusan adat Luak Sungei Ujong ketika mempengerusikan sidang dewan itu pada 17 April lalu.
Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin berkata, sidang berkenaan dilaksanakan mengikut bidang kuasa dan tanggungjawab dewan seperti diperuntukkan di bawah Perkara 16 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).
Beliau menjelaskan, DKU pada sidang itu hanya menerima serta memberikan nasihat berhubung keputusan yang telah dibuat oleh Luak berkenaan, bukannya campur tangan dalam urusan pemilihan atau pelantikan Undang.
Menurutnya, perkara yang dibentangkan ketika itu adalah aduan daripada wakil-wakil Telaga Undang Luak Sungei Ujong, iaitu Ibu Soko dan Waris Klana Hulu.
Mereka sebelum itu telah mengambil keputusan memberhentikan Mubarak Thahak @ Dohak daripada jawatan Undang mengikut adat Luak berkenaan menerusi surat pemberhentian yang diserahkan pada 13 Mei 2025.
Raja Norazli berkata, Tuanku Muhriz ketika mempengerusikan sidang berkenaan turut menegaskan bahawa kuasa memilih, melantik dan memberhentikan seseorang Undang adalah hak Luak masing-masing seperti termaktub dalam Perkara 14(1) dan (3) UUTKNS.
Justeru, anggota DKU termasuk Yang Dipertua Dewan sendiri tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak keputusan yang dibuat oleh Luak berdasarkan adatnya.
“Dewan menerima pemberhentian tersebut sebagai pemberhentian yang dibuat oleh Luak menurut adatnya sendiri, di bawah Perkara 14(3).
“Dewan tidak memberhentikan mana-mana Undang. Tuanku Muhriz juga tidak berbuat demikian. Dewan hanya menerima keputusan yang telah dibuat oleh Luak untuk memberhentikan Undang Luak Sungei Ujong,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas dakwaan sekumpulan individu yang mencabar kedudukan Tuanku Muhriz, Raja Norazli berkata, Perjanjian 1898 antara Yang Dipertuan Besar dengan Undang Yang Empat perlu ditafsirkan selaras dengan peruntukan undang-undang tubuh negeri yang berkuat kuasa.
Beliau berkata, perjanjian bertarikh 29 April 1898 itu sememangnya mempunyai kedudukan penting dalam sejarah perlembagaan Negeri Sembilan, namun tidak boleh lagi dijadikan satu-satunya rujukan bagi menentukan hak dan kuasa perlembagaan.
Sebaliknya, katanya, sebarang tafsiran terhadap perjanjian berkenaan perlu tertakluk kepada peruntukan nyata UUTKNS dan hanya boleh diterima selagi tidak bercanggah dengannya.
“Tiada dokumen sejarah boleh dipetik secara terpilih untuk mengatasi syarat-syarat bertulis Perkara 10,” katanya.
Pada 2 Oktober lalu, empat individu yang mendakwa sebagai Undang Negeri Sembilan bersama Tunku Besar Tampin mendakwa Tuanku Muhriz melanggar dua fasal dalam Perjanjian 1898.
Mereka mendakwa baginda mencampuri urusan adat di Luak serta melayan aduan terhadap seseorang Undang, sekali gus menjadikan dakwaan itu sebagai alasan untuk mempertahankan tindakan menurunkan baginda daripada kedudukan Yang Dipertuan Besar.
Bagaimanapun, Raja Norazli menegaskan Perkara 16(1) UUTKNS secara jelas menetapkan tanggungjawab DKU untuk memberikan nasihat berhubung persoalan adat Melayu yang dirujuk kepadanya.
Katanya, kegagalan atau kelewatan melaksanakan tanggungjawab itu bukan perkara remeh, sebaliknya boleh dianggap sebagai pengabaian terhadap amanah yang diberikan kepada dewan berkenaan.










