Tamim Dahri Akhirnya Serah Diri Selepas Lebih Empat Bulan Di Thailand

SEREMBAN: Polis mengesahkan aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak, yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes ugutan menerusi Facebook, tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, hari ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata lelaki berusia 33 tahun itu, yang sebelum ini dipercayai melarikan diri ke luar negara, menyerah diri kira-kira jam 12.45 tengah hari.

Menurut beliau, siasatan terhadap kes berkenaan bermula selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki berketurunan India pada 10 Mac lalu yang mendakwa diugut oleh suspek menerusi Facebook.

Susulan laporan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Alzafny berkata, usaha mengesan suspek sebelum ini dijalankan di sekitar Kajang, Selangor, namun siasatan mendapati lelaki terbabit dipercayai telah meninggalkan negara melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam menuju ke Thailand pada 9 Mac lalu.

“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek berada di Thailand selama lebih empat bulan sebelum dipercayai kembali ke Malaysia melalui laluan tidak sah di sempadan Kelantan.

“Sebaik tiba di negara ini, suspek tampil menyerah diri di IPD Port Dickson bagi membantu siasatan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Beliau berkata, suspek dijadual dibawa ke Mahkamah Seremban esok bagi mendapatkan perintah tahanan reman untuk membantu siasatan lanjut.

BBerkaitan

Latest articles