Tidak wajar bagi sesetengah pihak untuk menuduh Umno Sabah sebagai dalang kepada pendedahan skandal rasuah melibatkan lapan Adun di negeri itu, menurut Ketua Umno Beaufort Awang Aslee Lakat.
Menurut laporan Utusan Malaysia hari ini, Awang Aslee yang juga bekas setiausaha eksekutif Umno Sabah berkata, jika ada ahli Umno yang membuat perkongsian berkenaan pendedahan itu, ia sekadar perkongsian biasa tanpa mengaitkan mana-mana pihak.
“Justeru, kenapa ada pihak mengaitkan Umno sebagai dalang kepada isu rasuah ini,” soalnya.
Mengulas berkenaan isu tersebut, Awang Aslee berkata SPRM perlu membuat siasatan menyeluruh dan mengheret mereka yang terlibat, termasuk pemimpin di Sabah, ke muka pengadilan.
“Jadi, kita berharap pihak berkuasa mengambil tindakan dan memandang serius isu ini,” katanya lagi.
Sabtu lalu, Malaysiakini mendedahkan terdapat sekurang-kurangnya lapan rakaman video mengaitkan beberapa Adun yang didakwa membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit yang sebagai balasan untuk mendapatkan projek.
Semalam, pemberi maklumat yang membuat pendedahan itu, mengeluarkan video tambahan yang menunjukkan bekas CEO Sabah Mineral Management Sdn Bhd Jontih Enggihon menuduh Ketua Menteri Hajiji Noor menyalahgunakan kuasa.
Hajiji pula berkata dia akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan itu namun mahu “pemberi rasuah” ditangkap terlebih dulu.