Tahanan Rumah Untuk Kleptokrat Sukar Diterima – Loke

MELAKA: Bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menyifatkan pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang digelarnya kleptokrat sebagai sesuatu yang sukar diterima.

Beliau berkata, DAP mempunyai pendirian tegas dalam isu berkenaan kerana parti itu tidak pernah melupakan perjuangan menentang rasuah dan kleptokrasi yang menjadi antara faktor kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurutnya, Najib sebelum ini telah disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara, justeru pendirian DAP perlu dinyatakan berhubung perkembangan yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.

“Kleptokrat yang telah pun menyebabkan negara hilang berpuluh bilion, menyebabkan imej negara kita jatuh di mata dunia.

“Apabila beliau boleh teruskan hukuman tahanan rumah di banglo dia, boleh duduk katil, boleh tidur katil dengan selesa, kita perlu menyatakan pendirian kita.

“Ini pendirian DAP, memang kita rasa ini sesuatu yang sukar diterima,” katanya ketika berucap pada ceramah di Melaka Baru di sini, malam tadi.

Loke berkata, sebagai Setiausaha Agung DAP, beliau mengambil keputusan meletakkan jawatan daripada Kabinet sebagai tanda pendirian parti terhadap isu berkenaan.

Beliau turut menegaskan kesediaannya melepaskan jawatan sebagai menteri serta-merta sekiranya Najib dibenarkan pulang ke kediamannya untuk menjalani baki hukuman.

“Saya kata saya akan letak jawatan. Najib balik rumah, satu minit lebih pun saya tak akan pertahankan jawatan itu, saya lepaskan jawatan serta-merta.

“Ini Setiausaha Agung DAP. Kita kotakan janji, kita kotakan kata-kata kita,” katanya.

Bagaimanapun, Loke menegaskan DAP tetap menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong. Kuasa pengampunan memang kita hormati di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong ada pertimbangan, Tuanku. Itu kita hormat, tetapi kita juga ada pendirian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, DAP dan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah melupakan perjuangan menolak rasuah serta salah guna kuasa yang menjadi asas kepada perubahan kerajaan pada PRU14.

Menurutnya, rakyat ketika itu mahukan sebuah pentadbiran yang bersih dan bertanggungjawab, justeru prinsip berkenaan perlu terus dipertahankan.

Mengulas mengenai landskap politik Melaka, Loke turut mengingatkan supaya demokrasi di negeri itu terus diperkukuhkan dengan kewujudan kerajaan yang bertanggungjawab serta pembangkang yang kuat untuk memainkan peranan sebagai semak dan imbang.

“Kita mahu sebuah demokrasi yang subur, kita mahu sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kita mahu sebuah kerajaan yang sentiasa dipantau, kita mahu sebuah barisan pembangkang yang kuat di Melaka ini,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles