Anwar Petik Hadis Berkisar Keadilan, Cetus Pelbagai Reaksi Pengguna Media Sosial

KUALA LUMPUR: Hantaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memetik hadis Rasulullah SAW mengenai keadilan tanpa mengira kedudukan mencetuskan persoalan mengenai mesej tersirat di sebalik perkongsian itu, ketika keputusan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak menjadi tumpuan.

Menerusi Facebook, Anwar berkongsi hadis riwayat al-Bukhari (3475) daripada Aisyah RA yang mengingatkan bahawa kehancuran umat terdahulu berpunca daripada amalan pilih kasih dalam pelaksanaan hukuman.

Hadis berkenaan menegaskan golongan berkedudukan tinggi tidak seharusnya terlepas daripada hukuman, sedangkan golongan lemah dikenakan tindakan atas kesalahan sama.

“Sesungguhnya yang membinasakan umat sebelum kamu ialah apabila orang yang berkedudukan tinggi dalam kalangan mereka mencuri, mereka membiarkannya. Tetapi apabila orang yang lemah dalam kalangan mereka mencuri, mereka melaksanakan hukuman hudud ke atasnya.

“Demi Allah! Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya,” demikian petikan hadis itu.

Walaupun Anwar tidak menamakan mana-mana individu atau mengaitkan perkongsian tersebut dengan isu tertentu, waktunya ketika perkembangan kes Najib mencetuskan spekulasi mengenai mesej yang ingin disampaikan Perdana Menteri.

Hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengetepikan perintah pelepasan Najib bertarikh 6 November sebelum mengeluarkan perintah baharu yang membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara kes SRC International di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Keputusan itu menyusul permohonan semakan Jabatan Peguam Negara (AGC) selepas UMNO membayar denda RM50 juta bagi pihak Najib.

Anwar sebelum ini menyatakan ketidaksetujuannya secara peribadi terhadap tindakan UMNO membayar denda berkenaan kerana bimbang ia memberi gambaran bahawa kesalahan rasuah berskala besar boleh dipandang ringan atas dasar persahabatan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan menghormati proses undang-undang serta keputusan Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perlembagaan.

Najib mula dipenjarakan pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan terhadapnya atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC International.

Hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta itu kemudian dikurangkan kepada enam tahun serta RM50 juta menerusi pengampunan diraja pada Januari 2024.

Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memberikan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

BBerkaitan

Latest articles