KOTA BHARU: Kemelut hubungan PAS dan BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin meruncing apabila Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor, mengesahkan menerima surat penamatan pelantikannya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), hari ini.
Bagaimanapun, Kamaruddin yang memegang portfolio Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan enggan mendedahkan kandungan surat berkenaan, sebaliknya berjanji akan menjelaskan perkara itu pada sidang media esok.
“Apa yang boleh saya sahkan ialah saya menerima surat itu hari ini tetapi saya tidak akan mendedahkan butirannya buat masa ini.
“Saya akan bercakap mengenai perkara itu pada sidang media esok,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas itu turut menegaskan keputusan berkenaan tidak akan menjejaskan BERSATU.
Kamaruddin sebelum ini dilaporkan menyedari khabar angin mengenai kemungkinan penamatannya, namun belum menerima sebarang surat rasmi daripada kerajaan negeri.
Beliau berkhidmat sebagai EXCO Kelantan sejak Ogos 2023 dan menerajui BERSATU negeri itu sejak 10 tahun lalu.
Perkembangan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan keretakan hubungan politik PAS dan BERSATU, susulan keputusan PAS pada 8 Jun lalu untuk menamatkan semua kerjasama politik dengan parti berkenaan.
Langkah itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kedudukan wakil BERSATU dalam pentadbiran negeri yang diterajui PAS.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, difahamkan akan mengadakan sidang media khas esok bagi menjelaskan perkembangan berkenaan.










