KUALA LUMPUR: Pentadbiran Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa menguruskan negara secara ad-hoc dan tanpa hala tuju yang konsisten sehingga menyusahkan rakyat serta pihak industri.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, walaupun beliau menyokong pelbagai ikhtiar yang memberi manfaat kepada rakyat, seperti peningkatan asas program BUDI, pertambahan peruntukan sekolah, latihan Kecerdasan Buatan (AI), pembaikan sistem rekod kesihatan, serta pembiayaan mikro peniaga kecil, pendekatan dasar yang sentiasa berubah-ubah mempamerkan corak pengurusan secara “Management by Accident”.
“Bagaimanapun, kerajaan tidak boleh terus tadbir negara secara ad-hoc dan touch-and-go.
“Dasar-dasar pentadbiran tidak boleh berubah-ubah secara semberono sahaja,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas mengenai isu subsidi BUDI, Wan Saiful menyoal ketepatan data kerajaan apabila wujud percanggahan kenyataan antara Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II di Dewan Rakyat.
Menurut beliau, Menteri Kewangan II sebelum ini menyatakan bahawa kurang daripada satu peratus pengguna menggunakan lebih daripada 200 liter sebulan, namun Perdana Menteri pula memaklumkan seramai 16 juta pengguna bakal menikmati faedah berkenaan.
“Saya melihat tindakan menaikkan kuota daripada 200 liter kepada 300 liter secara tiba-tiba sebagai pengakuan terbuka bahawa formula asal kerajaan adalah salah sehingga kerajaan terpaksa memperbetulkan situasi sekarang,” jelas Naib Presiden Parti Wawasan Negara itu.
Tambah beliau, ketidaktentuan dasar turut jelas kelihatan dalam pelaksanaan e-Invois apabila kerajaan menukar ambang pengecualian secara mendadak daripada RM1 juta kepada RM3 juta.
Langkah bertukar tiang gol itu, tegasnya, membebankan peniaga kecil yang telah membelanjakan modal untuk mematuhi kriteria awal RM1 juta sebelum ini.
“Ketidaktentuan sebegini merosakkan ekosistem perniagaan dan menunjukkan bahawa kerajaan tidak mesra peniaga.
“Rakyat dan pihak industri mahukan dasar yang konsisten serta berpandangan jauh, bukannya pengumuman gopoh untuk dijadikan gula-gula politik dan pilihan raya,” tegasnya lagi.










