KUALA LUMPUR: Keputusan Ahli Parlimen pembangkang untuk tidak menyertai perbahasan khas mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini disifatkan sebagai kegagalan menjalankan fungsi semak dan imbang, khususnya terhadap kepentingan lebih 10 juta pendeposit.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, RCI TH bukan isu milik mana-mana Perdana Menteri atau parti politik, sebaliknya menyangkut hak dan amanah jutaan pendeposit umat Islam.
Beliau menegaskan, alasan ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani rawatan kesihatan tidak sepatutnya dijadikan sebab untuk pembangkang meninggalkan perbahasan berkenaan.
“Kita bukan memboikot Perdana Menteri, kita sedang memboikot amanah kita kepada jutaan pendeposit TH,” katanya ketika membahaskan laporan RCI TH di Dewan Rakyat.
Terdahulu, pembangkang memilih untuk tidak menyertai Sidang Khas selepas usul Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) supaya persidangan ditangguhkan ditolak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Takiyuddin sebelum itu memaklumkan cadangan berkenaan dibuat susulan ketidakhadiran Anwar yang menjalani rawatan, selain Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang turut menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Dalam pada itu, Syed Saddiq menggesa kerajaan menjalankan audit forensik terhadap TH bagi mengenal pasti punca masalah serta menangani risiko sistemik yang boleh memberi kesan kepada institusi kewangan berkaitan kerajaan lain.
Beliau turut mencadangkan Akta Tabung Haji 1995 dipinda bagi menghalang lantikan politik dalam kepimpinan TH, selain menuntut kerajaan merealisasikan suntikan dana fiskal yang dijanjikan untuk menyokong pelan pemulihan institusi itu.
Syed Saddiq berkata, tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab perlu dibuat secara telus tanpa mengira sama ada mereka sekutu atau lawan politik.
“Ini bukan mengenai saya atau kamu, bukan kawan atau lawan. Ini hak lebih 10 juta pendeposit dan hak umat Islam di Malaysia,” katanya.










