KUALA LUMPUR: Syarikat pengendali platform digital asing yang menawarkan perkhidmatan dalam talian di Malaysia perlu mematuhi undang-undang negara ini meskipun tidak mempunyai pejabat atau operasi fizikal di sini.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, ketiadaan pejabat di Malaysia bukan penghalang kepada kerajaan untuk mengambil tindakan atau mengadakan libat urus bagi menangani isu berkaitan penyalahgunaan platform digital.
Beliau berkata, Kementerian Komunikasi bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah mengenal pasti cabaran mengawal selia platform asing sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, antara contoh ialah aplikasi Telegram yang mempunyai jumlah pengguna mencecah satu bilion, namun hanya mempunyai beberapa ratus kakitangan untuk menguruskan operasinya.
“Daripada tahun 2023 lagi, kita telah mengenal pasti dan mengubah ataupun menyesuaikan beberapa kerangka perundangan untuk membolehkan satu kerjasama aktif dan juga libat urus aktif dengan syarikat-syarikat pengendali perkhidmatan seperti itu.
“Jadi, hanya kerana mereka tidak mempunyai pejabat, tidak bermaksud kita tidak boleh melakukan libat urus untuk menyelesaikan beberapa masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Wan Saiful meminta penjelasan mengenai tindakan kementerian bagi memastikan tiada diskriminasi dalam penguatkuasaan peraturan terhadap syarikat platform digital tempatan dan asing.
Beliau membangkitkan keadaan syarikat yang berpangkalan di Malaysia perlu mematuhi pelbagai peraturan, sedangkan platform yang tidak berdaftar atau tidak mempunyai operasi di negara ini berkemungkinan lebih sukar dikawal selia.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kementerian sedang berusaha mewujudkan kerangka kawal selia dan proses pelesenan yang jelas, termasuk keperluan syarikat pengendali platform mempunyai pejabat di Malaysia.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan masih mempunyai ruang untuk mengambil tindakan melalui pendekatan libat urus dengan syarikat terbabit walaupun mereka beroperasi di luar negara.
Beliau memberi contoh tindakan terhadap platform X susulan isu penyalahgunaan aplikasi kecerdasan buatan (AI), Grok, yang membolehkan gambar individu disunting sehingga menghasilkan imej lucah.
“Kita melakukan libat urus dengan pihak X dan Grok di Singapura. Akhirnya bukan hanya Malaysia, tetapi banyak negara mengenakan tekanan dan Grok telah mengubah suai aplikasi tersebut, tidak membolehkan aplikasi AI itu disalahgunakan untuk mengedit, menukar gambar-gambar yang menjadi gambar-gambar lucah,” katanya.
Fahmi berkata, usaha itu menunjukkan kerajaan masih boleh mendapatkan kerjasama syarikat platform digital asing bagi menangani isu berkaitan perkhidmatan mereka.
Justeru, beliau berharap kerangka kawal selia dan proses pelesenan yang lebih jelas dapat memastikan semua syarikat yang menawarkan perkhidmatan dalam talian tertakluk kepada undang-undang Malaysia.
“Harapan kami akhirnya ada kerangka yang sangat jelas, proses pelesenan yang jelas dan semua syarikat yang ingin memberi perkhidmatan dalam talian yang boleh dilesenkan, akur dengan undang-undang dalam negara kita,” katanya.










