KUALA LUMPUR: Kekalahan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kesemua 10 kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukan sekadar berpunca daripada kekuatan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya mencerminkan kelemahan kepimpinan serta kegagalan menguruskan parti di peringkat akar umbi.
Penganalisis politik, Tan Sri Dr Nordin Kardi, berpandangan prestasi buruk itu merupakan kemuncak kepada siri kemerosotan PKR dalam beberapa pilihan raya negeri sebelum ini, sekali gus menimbulkan persoalan serius terhadap kemampuan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memimpin parti dan Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, kelemahan jentera kempen, kegagalan menarik sokongan pengundi Melayu, perpecahan dalaman serta hubungan yang semakin tegang dengan rakan komponen PH antara faktor yang menyumbang kepada kekalahan berkenaan.
Beliau berkata, pengakuan Pengarah Komunikasi PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil, mengenai kelemahan persediaan jentera parti khususnya di kawasan luar bandar turut memperlihatkan masalah struktur yang perlu ditangani segera.
Malah, keputusan pilihan raya menunjukkan DAP berjaya mempertahankan kesemua empat kerusi yang ditandinginya, sedangkan PKR gagal memenangi satu pun daripada 10 kerusi dengan purata undi hanya 24.3 peratus.
Nordin turut mempersoalkan naratif peningkatan jumlah undi yang dibangkitkan pimpinan PH, sedangkan pertambahan itu perlu dinilai berdasarkan peningkatan jumlah pengundi berdaftar susulan pelaksanaan Undi18.
Beliau berpandangan, peningkatan undi secara mutlak tidak semestinya menggambarkan pertambahan sokongan apabila peratusan undi popular PH sebenarnya menunjukkan kemerosotan.
Lebih membimbangkan, katanya, kekalahan calon yang mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri, termasuk Setiausaha Politik Anwar, Datuk Azman Abidin di Paya Rumput, membuktikan kedudukan dalam lingkungan kuasa tidak menjamin keyakinan pengundi.
Dalam analisisnya, Nordin meletakkan kelemahan kepimpinan Anwar sebagai punca struktural yang perlu diberikan perhatian, khususnya apabila kepentingan membina legasi sebagai negarawan dilihat tidak diseimbangkan dengan usaha memperkukuh parti sendiri.
Beliau juga membangkitkan kegagalan menguruskan perbezaan dalaman PKR sehingga mencetuskan perpecahan, selain ketegangan hubungan dengan DAP ketika Anwar berusaha mengekalkan kerjasama politik dengan UMNO.
Keadaan itu, menurutnya, berisiko melemahkan solidariti gabungan dan menjejaskan kesungguhan jentera sekutu untuk membantu calon PKR dalam pilihan raya.
Sebagai perbandingan, Nordin melihat kepimpinan bekas Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sebagai model yang lebih berkesan dalam menyatukan parti dan menguruskan hubungan antara komponen gabungan.
Beliau berkata, Wan Azizah berjaya membina semula PKR ketika parti itu berada pada kedudukan paling lemah selepas Pilihan Raya Umum 2004 sebelum membantu mengukuhkan gabungan pembangkang sehingga mencatat kemenangan bersejarah pada PRU14.
Malah, pendekatan beliau yang mengutamakan perpaduan dan penyelesaian konflik dalaman dilihat berbeza dengan keadaan semasa apabila pergeseran politik gagal ditangani sehingga membawa kepada kemunculan parti serpihan.
Sehubungan itu, Nordin mencadangkan PKR mempertimbangkan penyusunan semula struktur kepimpinan dengan memberikan peranan lebih besar kepada Wan Azizah untuk menerajui operasi harian parti bagi tempoh pemulihan menjelang PRU16.
Pada masa sama, beliau berpandangan Anwar perlu melepaskan tanggungjawab menguruskan operasi parti, termasuk pemilihan calon dan percaturan politik harian, supaya dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran negara.
Beliau turut mencadangkan pewujudan jawatan kehormat seperti Murabbi Agung Parti atau Pemimpin Utama Reformasi bagi membolehkan Anwar terus berperanan sebagai tokoh rujukan dan penasihat strategik tanpa terbabit secara langsung dalam pengurusan harian PKR.
Nordin menegaskan, kekalahan 10-0 di Melaka perlu dijadikan amaran serius bahawa kelemahan parti tidak boleh terus ditutup dengan menyalahkan faktor luaran semata-mata.
Sebaliknya, perubahan kepimpinan dan pembaharuan struktur organisasi perlu dipertimbangkan secara berani bagi memulihkan keyakinan ahli, pengundi serta rakan gabungan sebelum PKR dan PH berdepan PRU16.










