SHAH ALAM: Keadaan jerebu yang semakin membimbangkan memaksa empat acara Sukan Para Malaysia (Para Sukma) Selangor 2026 yang dijadualkan berlangsung hari ini ditangguhkan bagi mengutamakan keselamatan atlet dan pegawai pertandingan.
Keputusan itu dibuat Jawatankuasa Pengelola Sukma dan Para Sukma Selangor 2026 selepas mengambil kira nasihat Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kesihatan serta pemantauan jawatankuasa khas teknikal.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sukma dan Para Sukma Selangor 2026, Mohd Najwan Halimi, berkata bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di Shah Alam dan Klang mencecah 169 setakat jam 12 tengah hari, sekali gus berada pada paras tidak sihat.
“Keadaan itu memaksa pihak penganjur menangguhkan acara para olahraga di Stadium Universiti Teknologi MARA (UiTM), para renang di Kompleks Akuatik Selangor, para memanah di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Selangor (Kombes) serta boling padang di Bayuemas, Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata keputusan berhubung penyambungan semula acara akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dengan mengambil kira perkembangan bacaan IPU di lokasi pertandingan.
Saingan Para Sukma Selangor 2026 bermula semalam, manakala beberapa acara dijadual berlangsung pagi ini termasuk para olahraga, powerlifting, para memanah, para badminton, boccia, ping pong, catur dan boling padang.










