​
GEORGETOWN: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) bersikap terbuka serta positif terhadap sebarang bentuk kerjasama politik Perikatan Nasional (PN) bersama Barisan Nasional (BN) sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bagi membentuk Kerajaan Persekutuan.
​Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, kesediaan itu berasaskan matlamat utama gabungan berkenaan untuk mencapai kemenangan pada PRU16 demi kepentingan rakyat dan kestabilan politik negara.
​”Matlamat utama kita adalah PRU16. Kita nak jadi Kerajaan Persekutuan dan jika nak menubuhkan kerajaan, kita mesti ada kerjasama dengan koalisi yang sedang berbincang iaitu Barisan Nasional.
​”Sesiapa sahaja atau mana-mana kerjasama koalisi yang boleh memenangkan Gerakan serta memberikan prestasi yang lebih baik, kita sangat alu-alukan,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Perwakilan Negeri Gerakan Pulau Pinang 2026, hari ini.
​Mengulas lanjut, Dominic yang juga Timbalan Pengerusi PN menjelaskan bahawa model kerjasama antara PN dan BN yang pernah dilaksanakan di Negeri Sembilan telah membuktikan hasil dan kelebihan yang positif kepada kedua-dua belah pihak.
​Beliau turut menyifatkan kehadiran wakil UMNO ke Muktamar PAS baru-baru ini sebagai isyarat positif ke arah memperkukuh hubungan serta kerjasama politik antara PN dan BN.
​Mengenai persediaan pembahagian kerusi, Dominic menegaskan bahawa Gerakan telah bersedia di peringkat parti dengan memfokuskan kepada kerusi-kerusi yang berpotensi tinggi untuk dimenangi (winnable seats).
​”Di peringkat Gerakan, kita sudah siap. Mengenai kerusi, ada jawatankuasa rundingan yang diadakan di beberapa peringkat.
“Peringkat pertama di dalam Gerakan sendiri, di mana kita fokus kepada kerusi yang kita boleh menang kerana kita tak mahu bertanding banyak tapi kalah,” katanya.
​Menurut beliau, rundingan susulan akan dijalankan bersama kepimpinan tertinggi PN dan BN bagi memuktamadkan agihan kerusi dengan mengambil kira kapasiti serta kekuatan setiap parti komponen.
​Dalam perkembangan berkaitan, Dominic mengumumkan bahawa Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan 2026 dijadualkan berlangsung pada 21 dan 22 November ini dan bakal dirasmikan oleh kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional.
​Menyentuh persediaan PRN Melaka, beliau mengakui rundingan kerusi di negeri itu agak mencabar berikutan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terhad iaitu 28 kerusi, namun perbincangan lanjut akan terus diadakan.










