Anwar Kata Siasatan FELDA, Tabung Haji Bukan Atas Dasar Dendam, Iri Hati

SERDANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tindakan menyiasat isu tatakelola dan kemungkinan penyelewengan membabitkan agensi kerajaan termasuk Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Lembaga Tabung Haji (TH) tidak wajar diputar sebagai permainan politik, apatah lagi didakwa berpunca daripada dendam atau iri hati.

Sebaliknya, beliau berkata usaha berkenaan adalah sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan untuk memastikan pentadbiran negara terus berpaksikan undang-undang serta tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk rasuah dan penyelewengan.

Anwar turut mengingatkan semua pihak supaya tidak mempolitikkan proses penguatkuasaan yang sedang berjalan kerana siasatan, pendakwaan dan keputusan mahkamah masing-masing dikendalikan oleh institusi berbeza.

“Jangan politikkan isu ini. Yang menyiasat bukan saya, tetapi badan penguatkuasaan.

“Yang memutuskan untuk mendakwa ialah Peguam Negara, mereka ada pasukan yang meneliti setiap kes, manakala yang menghukum pula ialah hakim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), hari ini.

Tegas Anwar, usaha membanteras rasuah dan penyelewengan bukan tugas mudah, malah berdepan tentangan termasuk cubaan mengheretnya menjadi polemik politik.

Menurutnya, jika perkara itu terus diputar atas kepentingan politik, akhirnya usaha membersihkan sistem pentadbiran negara boleh terjejas, sedangkan rakyat biasa menjadi pihak yang paling menerima kesannya.

“Jadi tugas saya dan rakan-rakan ialah memastikan pemerintahan ikut hukum itu berjalan. Penyelewengan dan rasuah mesti dihentikan, ia bukan momokan politik biasa.

“Yang akan menjadi mangsa ialah rakyat bawahan. Sebab itu kita mesti membantu membersihkan negara ini daripada segala kecurangan,” katanya.

Beliau berkata, setiap tindakan terhadap mereka yang disiasat atau didakwa tidak seharusnya terus dilabel sebagai penganiayaan, sebaliknya perlu dilihat berdasarkan proses undang-undang yang sedang berlangsung.

Anwar berkata, persepsi seperti “balas dendam”, “zalim”, “hasad” atau “dengki” akan terus dimainkan setiap kali pendakwaan dilakukan sekiranya usaha membanteras salah laku tidak difahami dalam kerangka penguatkuasaan undang-undang.

“Kalau tidak, setiap kali ada pendakwaan, ada yang akan kata ini balas dendam, ini zalim, ini hasad, ini dengki,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles