KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak dakwaan kononnya hubungannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini semakin keruh sehingga menjejaskan perjalanan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Presiden UMNO itu sebaliknya menegaskan hubungan beliau dengan Anwar kekal baik, malah menafikan laporan bahawa mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini terpaksa ditamatkan lebih awal susulan ketegangan antara mereka.
Menurut Zahid, mesyuarat berkenaan berlangsung seperti biasa dan berakhir pada kira-kira jam 1 tengah hari.
Malah, beliau berkata, kedudukan tempat duduknya yang berada di sebelah Anwar ketika mesyuarat berlangsung turut menjadi gambaran jelas bahawa hubungan kedua-dua pemimpin itu tidak seperti yang didakwa.
“Saya duduk sebelah dia (Anwar), sebelah kanan perdana menteri. Kemudian di sebelah saya juga Loke, menteri pengangkutan,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.
Zahid turut menepis dakwaan hubungan beliau dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook turut bermasalah, sebaliknya menyifatkan hubungan mereka sebagai sangat baik.
Laporan Bloomberg sebelum ini mendakwa hubungan Anwar dan Zahid semakin tegang, antaranya susulan keputusan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding menentang Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Ketegangan itu turut didakwa berkait dengan desakan DAP supaya pembaharuan institusi dilaksanakan menjelang penghujung tahun ini, selain keperluan Anwar mendapatkan sokongan BN bagi memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat untuk meluluskan pindaan Perlembagaan.
Namun, Zahid menegaskan BN tidak berganjak daripada komitmennya untuk terus berada dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen ke-15.
Beliau berkata pendirian itu bukan keputusan peribadi mana-mana pemimpin, sebaliknya sudah diputuskan melalui resolusi yang diterima sebulat suara perwakilan UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO.
“UMNO ini parti yang memegang janji. Janji kita adalah berada dalam Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal.
“Keputusan itu dibuat sehingga tamat penggal Parlimen ke-15. Yang penting kita berada dalam kerajaan sebab itulah resolusi yang telah diterima sebulat suara oleh perwakilan UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO terdahulu,” katanya.
Isu mengenai hubungan Anwar dan Zahid sebelum ini turut menjadi perhatian selepas bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mendakwa tahap kepercayaan antara kedua-dua pemimpin itu berada pada paras terendah susulan keputusan BN bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Negeri Sembilan.
Anwar bagaimanapun sebelum ini menolak dakwaan berkenaan dan menyifatkan kenyataan Khairy sebagai pandangan peribadi.










