KUALA LUMPUR: Pendirian Anthony Loke Siew Fook berhubung hasrat meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan terus menjadi sasaran kritikan, dengan pemerhati politik Eric See-To menyifatkannya sebagai pendirian yang semakin berubah-ubah.
Menerusi hantaran di Facebook, Eric menyindir Setiausaha Agung DAP itu dengan berkata: “Banyak betul pusing punya Ah Loke.”
Sindiran itu dibuat susulan perkembangan terbaharu mengenai peletakan jawatan Loke, yang pada awalnya diumumkan sebagai keputusan muktamad susulan isu pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Eric mendakwa pendirian Loke berubah daripada mahu berundur, kepada menunggu kepulangannya dari China untuk menyerahkan surat peletakan jawatan dan kini dilihat sebagai peletakan jawatan yang mempunyai syarat tertentu.
“Mula-mula umum nak letak jawatan. Lepas itu kata tunggu balik dari China, baru serah surat. Sekarang dah jadi peletakan jawatan bersyarat pula,” katanya.
Menurut Eric, selagi urusan berkaitan tahanan rumah Najib belum dimuktamadkan dan denda RM50 juta belum diselesaikan, Loke didakwa masih akan kekal memegang jawatan itu.
“Selagi kerajaan tak muktamadkan SOP tahanan rumah dan selagi tabung Najib tak kutip sampai RM50 juta maka Ah Loke (Anthony) tak letak jawatan,” dakwanya.
Sehubungan itu, Eric secara sinis menggesa orang ramai meneruskan usaha menderma kepada Tabung Najib jika mahu melihat Loke meletakkan jawatan.
Sebelum ini, Loke pada 19 September menawarkan diri untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan selepas DAP membincangkan pendirian parti susulan keputusan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib.
Pada 23 September, Loke dilaporkan mengekalkan pendiriannya untuk berundur dan akan menyerahkan surat peletakan jawatan selepas pulang dari China, manakala Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak mahu tergesa-gesa membuat keputusan berhubung tawaran itu.
Sementara itu, keputusan Lembaga Pengampunan membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.










