KUALA LUMPUR: Lima rakyat Malaysia dipercayai direkrut sebagai keldai dadah ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas cuba menyeludup lima kilogram (kg) cecair dadah sintetik jenis etomidate di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, pada 25 September lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua suspek terdiri daripada empat lelaki berusia antara 21 hingga 30 tahun dan seorang wanita berusia 25 tahun.
Menurutnya, JSJN menerima maklumat daripada Dittipidnarkoba Bareskrim Polri berhubung penahanan lima warga Malaysia yang baru tiba dari Kuala Lumpur menggunakan penerbangan komersial.
“Semakan mendapati tiga suspek berasal dari Sarawak manakala dua lagi dari Pahang.
“Seorang suspek mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan dadah, manakala empat lagi tidak mempunyai rekod lampau,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hussein berkata, kesemua suspek ditahan Bahagian Duti dan Cukai, Kastam dan Eksais Indonesia selepas pergerakan mereka dikesan mencurigakan ketika pemeriksaan di lapangan terbang.
Hasil pemeriksaan menemukan dua bungkusan disyaki etomidate yang dianggarkan seberat 500 gram setiap satu daripada setiap suspek.
“Kesemua bungkusan itu disembunyikan pada bahagian insole kasut, membabitkan keseluruhan 10 bungkusan dengan berat kasar lima kg,” katanya.
Beliau berkata, JSJN akan terus bekerjasama dengan pihak Polri bagi mendapatkan maklumat lanjut, termasuk mengesan rangkaian sindiket dadah di Malaysia yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti peranan setiap suspek serta rangkaian yang merekrut mereka.










