‘The Fox King’ Wakili Malaysia Ke Oscar ke-99

KUALA LUMPUR: Filem terbaharu arahan Woo Ming Jin, The Fox King (Semusim Lara), diumumkan sebagai penyertaan rasmi negara bagi mewakili Malaysia ke Anugerah Akademi ke-99 dalam kategori Filem Cereka Antarabangsa (International Feature Film).

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam satu kenyataan memaklumkan, pemilihan tersebut dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Filem FINAS dengan mengambil kira syarat kelayakan yang ditetapkan oleh Academy of Motion Picture Arts and Sciences (AMPAS).

Anugerah berprestij itu dijadualkan berlangsung di Dolby Theatre, Hollywood, Amerika Syarikat pada 14 Mac 2027.

“The Fox King mengisahkan dua beradik kembar, Ali dan Amir yang membesar tanpa ibu mereka, sebelum kehadiran seorang guru bahasa Inggeris baharu bernama Lara membawa perubahan kepada kehidupan serta hubungan kedua-dua beradik tersebut.

“Filem terbitan bersama syarikat dari Malaysia dan Indonesia itu menampilkan pelakon utama seperti Idan Aedan, Hadi Putra dan Dian Sastrowardoyo, selain turut menerima sokongan Dana Kandungan Kreatif (DKK) di bawah Kementerian Komunikasi melalui FINAS,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

Terdahulu, filem berkenaan telah mengadakan tayangan perdana dunia dalam program Centrepiece di Toronto International Film Festival (TIFF) pada 9 September 2025.

Ia kemudiannya menyertai pelbagai festival filem antarabangsa sehingga 1 Mei 2026, termasuk Busan International Film Festival, Jakarta Film Week, Taipei Golden Horse Film Festival, Singapore International Film Festival, Beijing International Film Festival, Far East Film Festival di Udine, serta San Francisco International Film Festival.

“Susulan kejayaan pencalonan ini, Kementerian Komunikasi dan FINAS turut merakamkan ucapan tahniah kepada Woo Ming Jin serta seluruh barisan pelakon dan tenaga produksi,” jelas kenyataan itu lagi.

Untuk rekod, The Fox King telah mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 17 September 2026.

BBerkaitan

Latest articles