Sudah Cukup Orang Terkorban Dek Pemandu Mabuk, Kenyataan PM Muhyiddin Yassin Amat Ditunggu-Tunggu

Keadaan sudah semakin buruk. Selagi mana tiada satu undang-undang khusus yang lebih berat untuk menghalang orang yang mabuk selepas meneguk arak, selagi itulah kita masyarakat dan negara seumpama membenarkan orang buta memandu kereta. Undang-undang menghukum pemandu yang mabuk adalah soal yang berbeza.

Tiga hari lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bertindak proaktif dengan memaklumkan bahawa beliau sudah mengarahkan Kementerian Pengangkutan untuk merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya hukuman yang lebih berat dikenakan ke atas individu yang disabitkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Orang ramai mahu hukuman lebih berat dan setimpal ke atas mereka yang menyebabkan kehilangan nyawa apabila merempuh orang awam kerana memandu ketika mabuk.

Kenyataan dari Muhyiddin disambut baik oleh rakyat dan netizen serta mereka berharap supaya undang-undang ini disegerakan.

BACA JUGA – MOT Pandang Serius Kes Pemandu Mabuk

Manusia mabuk kalau memandu memang ibarat orang buta pegang stereng. Dalam kejadian terbaru melibatkan Allahyarham Mohamed Zaili Mohamed, 44 tahun, selepas dirempuh dari belakang, motosikalnya diseret pula sejauh 2 kilometer seakan-akan pemandu itu tidak mengetahuinya.

Dalam rakaman video yang tular, suspek berkenaan yang memandu kereta jenis Nissan Livina masih boleh menunjukkan isyarat tangan bagus ketika dikejar selepas melanggar mangsa dan motosikalnya sedang diseret.

Keadaan motosikal mangsa dan kereta suspek jenis Nissan Livina selepas menyeret motosikal Arwah Mohamed Zaili.

Semalam, dalam satu kes lain seorang peraih ikan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan, Pahang atas dakwaan membunuh Allahyarham Irwan Herman Kamaruddin dekat Jalan Pintasan Kuantan, minggu lepas.

Suspek, Teoh Kian Peng, 42 tahun didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Bulan lepas, seorang anggota Polis pula maut selepas dirempuh oleh pemandu mabuk ketika bertugas di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) di Kajang pada 3 Mei.

Pada kejadian itu, Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31 tahun, gugur ketika bertugas dan beliau meninggal dunia di tempat kejadian.

Orang ramai kini mahu, sementara undang-undang berkenaan dirangka, kerajaan harus segera menggantung lesen penjualan arak di seluruh negara termasuk di kedai-kedai serbaneka 24 jam bagi mengekang mereka yang tidak bertanggungjawab ini daripada mendapat akses mudah kepada arak.

Kita tidak boleh memperjudikan satu lagi nyawa yang mungkin seorang ketua keluarga, anggota keselamatan atau orang biasa untuk terbunuh sekali dek ketagihan arak orang lain. – TRI

BBerkaitan

Latest articles