KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) memutuskan untuk mengekalkan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dicapai secara konsensus selepas mengambil kira pandangan daripada semua Ahli Parlimen PAS serta rakan sekutu dalam komponen PN.
Beliau menjelaskan bahawa pelantikan itu bukan sahaja melibatkan pandangan daripada parti PAS semata-mata, sebaliknya merupakan keputusan kolektif seluruh kepimpinan Ahli Parlimen gabungan berkenaan.
”Ahli Parlimen PAS dan PN… kita tak ambil pandangan PAS sahaja tetapi ahli parlimen PN, maka PAS membuat keputusan Hamzah kekal sebagai ketua pembangkang,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Reset di sini, hari ini.
Selain kedudukan Ketua Pembangkang, Abdul Hadi turut mengesahkan bahawa PN akan mengekalkan struktur kepimpinan sedia ada dalam gabungan politik tersebut.
Sementara itu, Ahli Parlimen Marang turut membayangkan bakal berlaku satu perkembangan politik baharu di Negeri Sembilan malam ini, yang melibatkan penyertaan beberapa tokoh terkemuka ke dalam parti itu.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan identiti individu terbabit namun menyifatkannya sebagai satu pengumuman yang mengejutkan.
”Malam ini di Negeri Sembilan akan diumumkan beberapa tokoh besar akan masuk parti kita. Ini keputusan yang mengejutkan dan kita akan buat perubahan insya-Allah akan menyelamatkan negara kita,” katanya lagi.










