KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) bersetuju untuk melaksanakan Keahlian Terus BN (BN Direct Membership) bagi menarik penyertaan golongan profesional, anak muda dan masyarakat secara keseluruhannya ke dalam koalisi tersebut.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, ketetapan yang dibuat berdasarkan Fasal 6.4 Perlembagaan Barisan Nasional itu adalah sebahagian daripada hala tuju masa kini dan masa hadapan parti.
Beliau berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan BN yang berlangsung hari ini di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, sebagai iltizam kepimpinan untuk memperkukuh parti serta merangka strategi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) 11 Julai depan.
”Mesyuarat telah memutuskan beberapa ketetapan utama yang akan menjadi panduan gerak kerja… antaranya BN akan terus memperkukuh kesatuan parti komponen dan Friends of BN demi menjamin kestabilan politik,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengenai persediaan pilihan raya, Zambry memaklumkan bahawa PRN Johor dan Negeri Sembilan akan menjadi fokus utama BN dengan menggerakkan seluruh jentera parti secara menyeluruh bagi memastikan kemenangan.
Katanya, mesyuarat turut memuktamadkan pendirian bahawa BN akan bertanding menggunakan logo dacing dalam kedua-dua PRN tersebut.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa BN kekal komited mendukungi Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal demi memastikan kestabilan negara, keyakinan pelabur dan kelangsungan agenda pembangunan nasional.










