KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Profesor Dr. Mohd Nasir Ibrahim, mendahului senarai 15 tokoh dan profesional yang mengumumkan penyertaan ke dalam Parti Islam Se-Malaysia (PAS), malam tadi.
​Pengumuman rasmi itu dibuat dalam satu majlis penyerahan borang keahlian bersempena program Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya yang berlangsung di sini, sekali gus memberi bayangan kesediaan parti berkenaan menghadapi saingan sengit menjelang pilihan raya negeri tidak lama lagi.
​Zaid, yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, serta Dr. Mohd Nasir, yang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), dilihat sebagai ‘tangkapan besar’ bagi PAS dalam usaha memperkukuh sokongan daripada kalangan teknokrat dan figura politik berpengalaman.
​Turut mencuri tumpuan dalam majlis tersebut ialah penyertaan bekas pimpinan kanan parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, termasuk mantan Exco Kanan Kerajaan Negeri yang juga bekas pimpinan PKR negeri, Dato’ Dr. Mohamad Rafie Abd Malek, serta bekas pimpinan Amanah negeri, Dr. Rosli Yaakob.
​Gelombang kemasukan kali ini turut menyaksikan penglibatan meluas bekas pemimpin UMNO dan Bersatu termasuk mantan Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Hamidah Osman; bekas calon Barisan Nasional (BN) DUN Manong, Mustapha Shah; serta tokoh anak muda dan pendaki Everest negara, Datuk Muqarrabin Moktarudin.
​Sektor profesional dan sukan tidak ketinggalan apabila personaliti televisyen yang juga bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azlan Johar, dan bekas Pengarah Perancang Bandar Majlis Perbandaran Seremban, Datuk TPr Lokman Omar, turut memilih untuk bersama saf perjuangan parti berkenaan.
​Kemasukan kumpulan tokoh yang merangkumi pelbagai latar belakang politik, korporat, NGO, dan sukan ini dijangka memberi suntikan moral yang besar buat jentera PAS dan Perikatan Nasional (PN) dalam misi menawan kerusi-kerusi strategik di pantai barat tanah air.
​Berikut adalah senarai penuh 15 tokoh yang diumumkan menyertai PAS malam tadi:
​Dato’ Dr. Mohamad Rafie Abd Malek – Mantan Pimpinan PKR Negeri Sembilan / Mantan Exco Kanan Negeri Sembilan
​Dr. Rosli Yaakob – Bekas Pimpinan Amanah Negeri Sembilan
​Datuk Zaid Ibrahim – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri / Mantan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu
​Datuk TPr Lokman Omar – Bekas Pengarah Perancang Bandar Majlis Perbandaran Seremban / Bekas CEO Perbadanan Kampong Bharu
​Profesor Dr. Mohd Nasir Ibrahim – Bekas CEO FINAS / Bekas Timbalan Rektor ASWARA
​Dr. Md Nizam Baharom – Bekas Pimpinan Kelab UMNO Manchester, UK
​Datuk Ahmad Termizi Musa – Mantan Setiausaha UMNO Bahagian
​Datuk Hamidah Osman – Mantan Exco Kerajaan Perak / Mantan Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia
​Datuk Muqarrabin Moktarudin – Tokoh Anak Muda / Pendaki Everest Negara / Mantan Exco Pemuda UMNO Malaysia
​Mustapha Shah – Bekas Calon BN DUN Manong, Kuala Kangsar / Mantan Exco Pemuda UMNO Malaysia
​Anas Imam Sudin – Pengerusi NGO BARA
​Azlan Johar – Personaliti TV / Bekas Pemain Bola Sepak Profesional / Pengulas Sukan
​Saiful Azli Saiful Rizwan – Bekas Naib Ketua Pemuda
UMNO Bahagian
​Rahimi Usman – Bekas Pembantu Dato’ Seri Anwar Ibrahim
​Mohd Dharfifi Mohd Dahlan – Bekas Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa










