JOHOR BAHRU, – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengesahkan beliau akan melapangkan jadual bagi menghadiri majlis pelancaran projek KTM Komuter pada Selasa ini sekiranya menerima jemputan rasmi daripada Kementerian Pengangkutan.
Bagaimanapun, beliau mendakwa sehingga kini pejabatnya masih belum menerima sebarang surat jemputan rasmi mahupun butiran program daripada kementerian berkenaan, walaupun jemputan secara terbuka dibuat oleh Menteri Pengangkutan ketika menghadiri program politik di Negeri Sembilan.
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Onn Hafiz berkata beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk menghadiri program berkenaan kerana ia melibatkan kepentingan rakyat Johor dan bukan soal kerjasama politik.
“Pelaksanaan projek ini adalah demi kesenangan Bangsa Johor bukan kerjasama politik. Jadi sepatutnya tidak timbul sebarang masalah atau keraguan. Pada saya, urusan rasmi kerajaan dan urusan kerjasama politik adalah dua perkara yang berbeza,” katanya.
Beliau berkata setakat ini pihaknya hanya dimaklumkan mengenai jemputan tersebut menerusi laporan media selepas ia diumumkan pada majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan Negeri Sembilan malam tadi.
Onn Hafiz turut mendakwa beberapa program rasmi Kementerian Pengangkutan sebelum ini tidak melibatkan jemputan kepada Kerajaan Negeri Johor atau EXCO yang bertanggungjawab, termasuk lawatan ke Kompleks CIQ pada Januari 2023, pengumuman berkaitan Vehicle Entry Permit (VEP) pada September dan Oktober 2024, lawatan ke projek ETS Segamat pada Mac 2025 serta lawatan kerja ke tapak projek RTS Link pada April lalu.
Menurut beliau, ketika lawatan ke projek RTS Link pada 3 April 2026, Kerajaan Negeri sekali lagi tidak dijemput walaupun beberapa pemimpin DAP Johor hadir pada program tersebut.
Beliau berkata apabila perkara itu dibangkitkan kepada pihak tertinggi Kementerian Pengangkutan, pihak kementerian memaklumkan jemputan hanya melibatkan vendor dan pembekal.
Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata Kerajaan Negeri Johor turut memainkan peranan penting dalam menjayakan pelaksanaan projek KTM Komuter, termasuk menyalurkan bantuan RM700,000 bagi kerja-kerja mencantikkan dan membalut tren.
Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) turut bersetuju menyediakan perkhidmatan bas pengantara di stesen-stesen terlibat termasuk perkhidmatan shuttle dengan kos operasi sekitar RM86,000.
Beliau berkata kerajaan negeri juga menyelaras laluan Bas Muafakat Johor serta menaja tempat duduk bernilai kira-kira RM9,000 bagi meningkatkan keselesaan penumpang.
“Perkongsian ini bukanlah bertujuan untuk ‘claim credit’, tetapi sekadar memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Johor turut menyumbang dalam menjayakan inisiatif Kerajaan Persekutuan. Johor bukan sekadar menerima, tetapi turut membantu melaksanakan,” katanya.
Onn Hafiz turut menegaskan bahawa projek pembangunan bukan milik mana-mana parti politik, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama semua pihak yang diberikan amanah.
“Bagi saya, projek pembangunan bukanlah milik mana-mana parti politik termasuklah DAP. Sebaliknya, ia adalah tanggungjawab semua pihak yang diberikan amanah dan kita mesti kekal profesional untuk melaksanakannya demi manfaat dan kesenangan rakyat.”
Beliau sekali lagi menyatakan kesediaannya menghadiri majlis berkenaan dan menunggu surat jemputan rasmi serta butiran program daripada Kementerian Pengangkutan.










