KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat isu kerugian kira-kira RM200 juta membabitkan pelaburan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata siasatan terhadap kes berkenaan sudah dimulakan sejak semalam dan akan dijalankan secara menyeluruh.
Beliau berkata, proses siasatan akan dilaksanakan secara adil, telus serta saksama mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan ini bagi mengelakkan kekeliruan serta memastikan integriti proses siasatan terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Kewangan (MOF) menerusi jawapan bertulis di Parlimen memaklumkan pelaburan KWAP dalam eFishery dipercayai terjejas akibat penipuan terancang membabitkan manipulasi laporan kewangan oleh pihak pengurusan syarikat berkenaan.
Menurut MOF, konsortium pelabur termasuk KWAP telah mengambil beberapa tindakan susulan, antaranya memulakan proses perundangan, berusaha mendapatkan semula dana pelaburan, selain menjalankan semakan terhadap aspek tadbir urus dalaman dan memperkukuh kawalan pelaburan.
Media sebelum ini melaporkan eFishery berdepan siasatan selepas timbul dakwaan berlaku penyelewengan kewangan termasuk pemalsuan atau manipulasi penyata kewangan yang menyebabkan prestasi hasil syarikat dilaporkan melebihi angka sebenar.
Berdasarkan laporan DealStreetAsia, KWAP dilaporkan melabur sekitar AS$47.7 juta (kira-kira RM200 juta) dalam pusingan pembiayaan Series D eFishery pada 2023.










