KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius dakwaan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berhubung amalan rasuah dalam kalangan pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya akan melakukan siasatan terperinci berkenaan isu itu.
“Berhubung dakwaan rasuah yang dinyatakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, SPRM akan menyiasat perkara tersebut,” katanya menerusi kenyataan ringkas hari ini.
Azam juga memaklumkan pihaknya akan mendapatkan maklumat daripada semua pihak yang terlibat, termasuk King Sing.
“Kita akan dapatkan maklumat daripada semua pihak berhubung perkara ini (dakwaan rasuah di KLIA) dan melakukan siasatan sewajarnya.
“Oleh itu, kami menggesa orang ramai agar tidak mensensasikan atau membuat spekulasi mengenai perkara ini,” tegasnya.
Untuk rekod, King Sing dilaporkan teeb ait dalam satu insiden, kononnya mendakwa Ahli Parlimen Bintulu itu memasuki Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA tanpa pas keselamatan dan cuba menyelamatkan seorang pelawat wanita warga China yang ditahan daripada memasuki negara ini.
Malah menteri berkenaan juga didakwa telah memarahi polis bantuan dan pegawai Imigresen di KLIA selepas berang tindakannya yang cuba membebaskan wanita asing itu dihalang oleh penguatkuasa itu.
Bagaimanapun dalam satu kenyataan balas semalam, King Sing menafikan sekeras-kerasnya beliau cuba menyelamatkan wanita China itu sambil membongkar kewujudan unsur rasuah yang berlaku dalam kalangan penguatkuasa di pintu masuk KLIA.
Dakwanya, berlaku masalah komunikasi antara pegawai dan pelawat asing itu selain wanita asing itu didakwa ditahan tanpa sebab serta tidak diberikan makan minum sepanjang tempoh penahanan tersebut walaupun mempunyai dokumen yang lengkap dan sah untuk memasuki Malaysia.
Malahan beliau juga mendakwa menerima maklumat terdapat pegawai Imigresen di KLIA yang meminta bayaran sehingga RM3,000 kepada pelancong China untuk dilepaskan daripada tahanan.
Dakwanya, wang tambahan juga diminta oleh pegawai daripada pelancong itu untuk proses Visa serta penghantaran pulang ke negara asal mereka.