Mahkamah Tinggi Kekal Hukuman Penjara Lima Tahun Terhadap Ibu Zayn Rayyan

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadap ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin, Ismanira Abdul Manaf, kerana mengabaikan kanak-kanak autistik itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Hakim Noor Hisham Ismail memutuskan tiada asas untuk mahkamah campur tangan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya selepas meneliti rekod rayuan, alasan penghakiman serta hujahan kedua-dua pihak.

Beliau berkata, pihak pembelaan gagal menunjukkan wujud kekhilafan fakta atau undang-undang yang boleh menjadi alasan untuk mengetepikan sabitan berkenaan.

“Mahkamah rayuan hanya campur tangan jika hukuman tidak jelas, berlebihan atau jika terdapat kekhilafan prinsip,” katanya ketika membacakan keputusan hari ini.

Menurut Noor Hisham, hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan terhadap Ismanira adalah setimpal berdasarkan fakta dan keadaan kes serta tidak boleh dianggap berlebihan.

Beliau turut menjelaskan bahawa Ismanira dihukum berdasarkan perbuatan pengabaian yang dilakukan olehnya sendiri, bukannya atas sebarang kesalahan jenayah yang mungkin dilakukan oleh pihak ketiga.

Dalam keputusan sama, mahkamah turut menolak rayuan balas pihak pendakwaan yang mahu hukuman lebih berat dikenakan atas alasan hukuman sedia ada tidak memberikan kesan pencegahan yang mencukupi.

Ismanira diwakili peguam Haresh Mahadevan, Tiara Katirina Fuad, Lavanesh Mahadevan dan Haijan Omar, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin bersama Kamarul Iman Ahmad Sapian dan Ahmad Iqbal Azman.

Pada 7 Januari lalu, Ismanira memfailkan petisyen rayuan bagi mencabar keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadapnya.

Antara asas rayuan pembelaan ialah pertuduhan terhadap Ismanira didakwa sepatutnya dibuat mengikut Seksyen 33, bukannya Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.

Peguamnya turut berhujah tiada saksi yang melihat Ismanira mengabaikan anaknya secara langsung, selain mendakwa kes pendakwaan banyak bergantung kepada keterangan keadaan.

Pendakwaan bagaimanapun mempertahankan sabitan berkenaan dan pada masa sama memohon hukuman lebih berat bagi memastikan elemen pencegahan diberi perhatian.

Pada 31 Oktober 2025, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Syahliza Warnoh, mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan sebelum menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ismanira.

Selain hukuman penjara, mahkamah turut memerintahkannya menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin serta cagaran RM3,000.

Ismanira juga diarahkan menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

BBerkaitan

Latest articles