​KUALA LUMPUR: Kerajaan komited untuk memastikan Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat (FOI) digubal secara komprehensif agar benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan bukannya bertukar menjadi undang-undang yang mengawal maklumat.
​Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penggubalan undang-undang berkenaan memerlukan keseimbangan antara hak rakyat untuk mengakses maklumat dan kepentingan keselamatan negara.
​Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemilih Khas Parlimen (JKPK) menegaskan, kerajaan tidak berhasrat menghasilkan RUU FOI sekadar untuk mencukupi syarat, sebaliknya mahu ia menjadi satu perundangan yang efektif.
​”Kita mahu ada RUU Kebebasan Maklumat pada tahun ini seperti yang dijanjikan, tetapi persoalannya ialah apakah bentuk rang undang-undang yang mahu kita hasilkan.
​”Tiada gunanya kita mewujudkan RUU Kebebasan Maklumat jika akhirnya ia menjadi rang undang-undang kawalan maklumat. Lebih baik tidak ada terus jika begitu,” katanya.
​Beliau berkata demikian selepas sesi pendengaran awam mengenai RUU Kebebasan Maklumat 2026 di Parlimen hari ini.
​Mengulas lanjut, Azalina memperincikan tiga perkara utama yang menjadi fokus perbincangan Ahli Parlimen, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam dalam sesi tersebut.
​Antaranya membabitkan sejauh mana hak terhadap maklumat perlu diberikan, ketelusan maklumat melibatkan syarikat swasta dan badan awam, serta keperluan mewujudkan badan pengawal selia seperti ombudsman.
​”Perkara pertama ialah isu hak kepada maklumat yang mana kita tidak menafikan hak tersebut, namun persoalannya sejauh mana ia merangkumi akses maklumat.
​”Selain itu, terdapat keperluan melihat isu membabitkan entiti awam dan swasta, peranan majlis media serta perbezaan antara Senarai Negeri dan Senarai Persekutuan yang melibatkan elemen keselamatan,” katanya.
​Dalam pada itu, Azalina turut mendedahkan bahawa Akta Perkhidmatan Parlimen dijangka dikuatkuasakan pada Oktober 2026.
​Jelas beliau, penguatkuasaan akta tersebut bakal membolehkan Parlimen mempunyai penggubal draf perundangan sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
​”Bagi saya, AGC perlu menjalankan tugas mereka untuk melindungi kepentingan negara, manakala kita di Parlimen menyuarakan suara rakyat.
​”Dengan adanya ini kelak, kita akan mempunyai penggubal draf perundangan sendiri untuk membantu proses ini,” katanya.
​Beliau turut memuji penglibatan pelbagai pihak terutamanya pelajar pengajian tinggi dan wakil NGO yang tampil memberikan pandangan berani serta kritis sepanjang sesi pendengaran awam tersebut.










