Sirul Pilih Teruskan Hidup Di Australia

PETALING JAYA: Bekas polis, Sirul Azhar Umar mendakwa adalah berbahaya buat dirinya jika pulang ke Malaysia.

Beliau yang berdepan hukuman mati di negara ini kerana membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu juga nekad meneruskan hidup di Australia.

Dalam wawancara eksklusif bersama Aljazeera English 101 East, yang disiarkan pada pagi ini, dia turut memohon kemaafan kepada keluarga Altantuya dan minta diampunkan.

Katanya, dia mendakwa tidak bertanggungjawab ke atas pembunuhan itu walaupun telah disabit oleh mahkamah atasan di Malaysia.

Sirul mendakwa dia dijadikan kambing hitam dan diperangkap dalam permainan politik yang mana dia mengakui menerima RM1 juta ketika berada di Australia daripada sumber tidak dinamakan bertujuan “menutup mulut”. Dia juga ada membuat beberapa dakwaan yang tidak dapat disahkan terhadap beberapa personaliti individu ternama.

“Saya merayu kepada masyarakat di sini untuk menerima saya. Saya berjanji kepada anak lelaki saya tidak sesekali akan melanggar undang-undang di sini. Saya (akan) patuh segalanya. Saya menyedari adalah sangat tidak selamat untuk kembali ke sana (Malaysia).

“Apa sahaja berlaku, saya mahu membina kehidupan bersama anak saya di Australia. Saya berharap masyarakat Australia menerima saya seadanya. Saya bukan orang jahat.

“Saya cintakan Australia jauh di sudut hati, dari jiwa. Berikanlah saya peluang kedua. Satu lagi…saya mahu memohon kemaafan kepada keluarga Altantuya. Tolong maafkan saya. Itu sahaja,” katanya kepada saluran televisyen antarabangsa itu dalam wawancara pertama sejak dibebaskan dua minggu lalu dari Pusat Tahanan Imigresen Villawood, di Sydney.

Sirul Azhar Umar ketika diwawancara dalam Aljazeera English 101 East. (Gambar Aljazeera)
Sirul antara sekumpulan tahanan imigresen yang dibebaskan selepas Mahkamah Tinggi Australia memerintahkan menahan tahanan tanpa tempoh merupakan pelanggaran undang-undang.

Arahan itu membatalkan keputusan 2004 yang menyatakan individu bukan warganegara tanpa visa boleh dikenakan tahanan tanpa tempoh tertentu dengan syarat kerajaan berhasrat mengeluarkan mereka sesegera mungkin.

Sirul berkata, pegawai polis Malaysia telah bertemu dengannya sehari selepas dibebaskan dan memaklumkan menteri hal ehwal luar Australia ada menghubungi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia menanyakan sama ada dia selamat berada di Canberra.

“Mereka memberitahu beliau saya selamat. Tapi, saya kecewa, lihat sahaja berita semuanya jahat tentang saya. Jadi, masyarakat di sini sangat, sangat takut kepada saya. (Mereka fikir) Sirul berbahaya.”

Australia tidak mengusir Sirul ke Malaysia memandangkan undang-undang negara itu tidak membenarkan mereka berdepan hukuman mati dikembalikan ke negara asal.

Altantuya ditembak di kepala pada 2006 di hutan di Puncak Alam, Selangor. Mayatnya kemudian diledakkan menggunakan bahan letupan.

BBerkaitan

Latest articles