Singapura Bangunkan Kepakaran Tenaga Nuklear, Sasar Program Sarjana Pada 2027

SINGAPURA: Singapura akan memperkenalkan dua program baharu pembangunan tenaga kerja nuklear bagi membina kepakaran dalam bidang tenaga nuklear, termasuk memberi peluang kepada pegawai awam dan profesional industri memperoleh pengalaman praktikal bersama organisasi serta rakan antarabangsa.

Menteri Tenaga, Perdagangan dan Industri (Tenaga dan Industri), Tan See Leng berkata, Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) turut merancang melancarkan program sarjana bersama dalam kejuruteraan nuklear pada 2027.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan sempena pembukaan Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura 2026 pada Isnin.

Menurut Tan, industri nuklear berpotensi mewujudkan peluang besar serta laluan kerjaya baharu, sama ada di dalam mahupun luar negara.

Sehubungan itu, Singapura akan mempergiat usaha membangunkan kumpulan pakar dan profesional tenaga nuklear menerusi tiga pendekatan utama.

Pendekatan pertama ialah program pembangunan tenaga kerja nuklear bagi sektor awam yang akan memberi peluang kepada pegawai awam Singapura mendapat pendedahan kerja secara langsung di organisasi nuklear terkemuka dunia.

Program itu bertujuan memperkukuh kemahiran dan kompetensi mereka berkaitan tenaga nuklear.

Pendekatan kedua pula membabitkan program pembangunan tenaga kerja nuklear bagi industri untuk menyokong ekosistem sektor berkenaan, termasuk memberi peluang kepada profesional daripada syarikat terpilih yang berpangkalan di Singapura memperoleh pengalaman praktikal bersama rakan antarabangsa yang dipercayai.

Tan berkata, peningkatan minat global terhadap tenaga nuklear membuka peluang kepada industri berkenaan untuk berkembang serta menyediakan laluan kerjaya baharu kepada tenaga kerja.

Pendekatan ketiga ialah membangunkan bakat tempatan melalui kerjasama NUS dan NTU bagi menawarkan program sarjana bersama dalam kejuruteraan nuklear yang disasarkan bermula pada 2027.

Beliau berkata, walaupun Singapura akhirnya memutuskan untuk tidak menggunakan tenaga nuklear, keupayaan dan kepakaran yang dibangunkan ketika ini akan terus memberi manfaat kepada negara.

Menurutnya, usaha itu penting khususnya ketika minat terhadap tenaga nuklear semakin meningkat di Asia Tenggara dan seluruh dunia.

BBerkaitan

Latest articles