KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berdepan tekanan kos operasi, bukannya terus membebankan golongan peniaga dengan pelbagai keperluan pematuhan dan bayaran.
Exco Pergerakan Puteri UMNO, Raja Sara Petra berkata, tindakan pelbagai jabatan kerajaan yang kerap melakukan pemeriksaan serta mengenakan keperluan latihan, lesen dan kursus boleh menjejaskan kelangsungan perniagaan.
Menerusi hantaran video di Facebook, beliau berkata, situasi itu mewujudkan kitaran yang merugikan apabila peniaga terpaksa menanggung pelbagai kos ketika berusaha memastikan perniagaan masing-masing terus bertahan.
Menurutnya, beliau memahami kekangan yang dihadapi jabatan kerajaan, termasuk peruntukan terhad dan keperluan mengawal perbelanjaan operasi.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan sama ada usaha mendapatkan dana bagi menampung kos operasi jabatan akhirnya menyebabkan golongan PKS terpaksa menanggung beban kewangan tambahan.
“Kalau jabatan kerajaan tak cukup duit, PKS tak cukup duit, rakyat pun tak cukup duit, duit itu pergi mana?” katanya sambil mempersoalkan pengurusan ekonomi negara di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Raja Sara turut menyamakan keadaan ekonomi semasa dengan seseorang yang terpaksa menggunakan kad kredit untuk membayar hutang lain sehingga akhirnya hanya mampu membayar faedah, sedangkan hutang pokok terus tertunggak.
Beliau berkata, tekanan terhadap peniaga boleh menjejaskan kegiatan ekonomi apabila perniagaan tidak mampu berkembang, peluang perniagaan terhad dan wang tidak beredar dengan baik dalam pasaran.
Menurutnya, kerajaan sepatutnya membantu golongan yang menjana pendapatan dan menggerakkan ekonomi, bukannya terus bergantung kepada mereka untuk mendapatkan hasil.
Beliau turut memberi amaran bahawa penutupan PKS boleh menyebabkan pekerja kehilangan pekerjaan, sekali gus mengurangkan kuasa beli pengguna dan menjejaskan perniagaan lain.
“Kalau PKS tutup, pekerja hilang kerja. Bila pekerja hilang kerja, siapa nak berbelanja? Bila tak ada orang berbelanja, siapa nak berniaga? Bila bisnes tutup, kerajaan nak kutip cukai daripada siapa?” katanya.
Raja Sara menyifatkan keadaan itu sebagai kitaran ekonomi yang memudaratkan diri sendiri dan berkata, kritikan yang dikemukakannya setakat ini hanya melibatkan beberapa jabatan kerajaan, belum termasuk isu berkaitan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).










