KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diminta menjelaskan pencapaiannya sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ketika rakyat masih berdepan isu banjir, sampah dan jalan berlubang.
Ketua Penerangan Wawasan Negara Selangor, Ahmad Nasir Mid berkata, rakyat berhak menilai keberkesanan peranan pembangkang dalam menjalankan fungsi semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan negeri.
Beliau bersama tiga lagi pemimpin penerangan parti itu berkata, jawatan Ketua Pembangkang bukan sekadar gelaran politik, sebaliknya memerlukan tindakan bagi mendesak penyelesaian terhadap masalah rakyat.
“Jika masalah yang sama terus berulang, apakah hasil kerja Azmin dan pasukannya? Apakah desakan yang telah membawa perubahan? Apakah pencapaian nyata yang boleh dibanggakan oleh rakyat Selangor?” menurut kenyataan bersama itu pada Isnin.
Kenyataan berkenaan turut ditandatangani Ketua Penerangan Bahagian Selayang, Meshach Varunamegam; Ketua Penerangan Bahagian Ampang, Faizan Mohd Nor; dan Ketua Penerangan Bahagian Bangi, Shamsul Izwan Abdul Wahab.
Mereka turut membangkitkan beberapa isu yang pernah dititahkan Sultan Selangor serta mempersoalkan tindakan kerajaan negeri dan peranan pembangkang dalam memastikan perkara itu diberikan perhatian sewajarnya.
Dalam pada itu, mereka mempersoalkan laporan mengenai kemungkinan usaha pihak yang dikaitkan dengan Mohamed Azmin untuk menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) Selangor.
Menurut mereka, sebarang usaha ke arah kerjasama politik itu perlu dinilai berdasarkan keutamaan terhadap dasar dan penyelesaian masalah rakyat, bukannya pembahagian kedudukan atau kepentingan politik.
Sehubungan itu, Mohamed Azmin diminta menjelaskan rekod pencapaiannya, termasuk tindakan yang telah diambil dan hasil yang dicapai bagi menangani isu yang membelenggu rakyat Selangor.
Mereka menegaskan, rakyat mahu melihat hasil kerja dan tindakan berkesan daripada pembangkang, bukannya sekadar kenyataan politik atau rundingan di belakang tabir.










