KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji semula kehadiran Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia susulan kegagalannya melaksanakan penempatan semula pelarian ke negara ketiga.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UNHCR tidak lagi memainkan peranan berkesan seperti ketika menangani isu pelarian Vietnam antara 1978 hingga 1990.
Beliau berkata, hanya sekitar 5,000 pelarian berjaya ditempatkan semula ke negara ketiga dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, sedangkan majoriti pelarian Rohingya di Malaysia memegang kad UNHCR.
Menurutnya, keadaan itu membimbangkan kerana Malaysia terpaksa menanggung beban pelarian berkenaan apabila usaha penempatan semula tidak mencapai hasil yang diharapkan.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohamad turut menyifatkan keadaan semakin mencabar apabila Australia, Jerman dan Amerika Syarikat mengetatkan dasar kemasukan pelarian.
Sehubungan itu, katanya, Malaysia perlu mengadakan rundingan dan libat urus dengan kerajaan Myanmar bagi mencari penyelesaian terhadap isu pelarian yang berlarutan, selain mengelakkan negara terus menanggung beban berkenaan.










