Polis Panggil Pencipta Kandungan Masuk Rumah Zalina Azman

SHAH ALAM: Polis akan memanggil seorang pencipta kandungan yang memasuki kediaman bekas personaliti televisyen, Zalina Azman, di sini, bagi mendapatkan penjelasan berhubung tindakannya merakam dan berkongsi keadaan rumah itu di media sosial.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya akan meneliti perkara itu terlebih dahulu sebelum menentukan tindakan lanjut yang boleh diambil terhadap individu terbabit.

Beliau berkata demikian susulan tular perkongsian pencipta kandungan berkenaan yang memasuki kediaman Zalina bagi meninjau keadaan rumah itu, ketika misteri kehilangan wanita berkenaan sejak November 2021 masih belum terungkai.

Perkongsian itu memaparkan beberapa barangan dipercayai milik Zalina yang masih berada di dalam rumah, termasuk wang syiling rupiah, buku bank, pakaian, barangan mandian dan barangan peribadi lain.

Bagaimanapun, keadaan kediaman itu kelihatan berselerak, manakala empat unit pendingin hawa dilaporkan dipecahkan dan batang paip sinki turut didapati hilang.

Sarudin berkata, keadaan rumah berkenaan menunjukkan terdapat individu yang memasukinya sebelum ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan siasatan kehilangan Zalina masih diteruskan, namun polis belum memperoleh petunjuk kukuh untuk membawa kes itu ke peringkat seterusnya.

Menurutnya, setiap maklumat dan petunjuk baharu yang diterima akan diteliti, termasuk semakan rekod keluar masuk Imigresen yang setakat ini belum memberikan perkembangan baharu.

Polis juga meneruskan rondaan berkala di kawasan kediaman itu menerusi Balai Polis Seksyen 6.

Zalina dilaporkan gagal dihubungi sejak 24 November 2021 selepas anaknya, Mikhael Norman, cuba menghubunginya untuk memaklumkan bapanya dimasukkan ke hospital.

Sehingga kini, kehilangan bekas personaliti televisyen itu kekal menjadi misteri dan beliau masih dikategorikan sebagai Orang Hilang (OH), berikutan tiada bukti sahih menunjukkan beliau meninggal dunia atau meninggalkan negara.

BBerkaitan

Latest articles