KUALA LUMPUR: Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) melahirkan kekecewaan terhadap Bajet 2027 yang disifatkan masih belum menyediakan sokongan mencukupi bagi melaksanakan transformasi industri secara bermakna, khususnya dalam membantu sektor pembuatan menangani peningkatan kos operasi dan penggunaan teknologi.
Presidennya, Jacob Lee Chor Kok berkata, pihaknya mengakui Bajet 2027 mengambil pendekatan seimbang bagi mengekalkan momentum ekonomi dan meneruskan konsolidasi fiskal dalam keadaan ketegangan geopolitik, ketidaktentuan pasaran tenaga serta perdagangan global.
Bagaimanapun, katanya, kekurangan sokongan untuk membantu sektor pembuatan mengatasi halangan penggunaan teknologi, inovasi dan pelaburan hijau perlu diberi perhatian.
Menurut FMM, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan antara 4.2 hingga 5.2 peratus pada 2027, berbanding unjuran semakan 4.8 hingga 5.3 peratus bagi 2026.
FMM turut menyokong sasaran defisit fiskal kerajaan sebanyak 3.3 peratus daripada KDNK pada 2027, berbanding unjuran semakan 3.6 peratus pada 2026 susulan peningkatan kos subsidi bahan api akibat konflik Asia Barat.
Namun, konsolidasi fiskal perlu mengekalkan perbelanjaan pembangunan yang produktif serta menyokong pelaburan swasta bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara terus terpelihara.
“Keutamaan utama adalah memastikan lebih banyak modal kekal dalam ekonomi produktif supaya perniagaan dapat melabur semula, berkembang dan mewujudkan pekerjaan dengan gaji lebih tinggi,” menurut kenyataan FMM pada Jumaat.
FMM berkata, pelaksanaan berkesan, insentif yang mudah diakses serta hubungan rantaian bekalan domestik yang lebih kukuh penting bagi memastikan langkah dalam bajet itu menghasilkan peningkatan produktiviti dan pertumbuhan industri mampan.
FMM turut menyambut baik keputusan kerajaan menaikkan gaji minimum bulanan daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027 serta pengecualian kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan hasil tahunan RM50 juta dan ke bawah.
Bagaimanapun, cadangan gaji minimum RM2,500 bagi pekerjaan separa mahir dan graduan memerlukan perbincangan lanjut dengan pihak industri.
Menurut FMM, kadar upah seharusnya ditentukan berdasarkan keadaan pasaran, keperluan pekerjaan, kompetensi yang dibuktikan serta tahap produktiviti.
“Ketidakpadanan kemahiran sedia ada juga boleh menyebabkan majikan menanggung kos gaji lebih tinggi selain perbelanjaan latihan tambahan untuk melengkapkan pekerja dengan kemahiran bersesuaian,” jelasnya.
Sehubungan itu, FMM menggesa kerajaan mengadakan rundingan industri mengenai cadangan berkenaan, di samping memperkukuh pendidikan sejajar keperluan industri, pembangunan kemahiran dan sistem gaji berasaskan produktiviti.
Dalam aspek pembangunan tenaga kerja, FMM menyifatkan peruntukan hampir RM69 bilion kepada Kementerian Pendidikan dan RM19.1 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai pelaburan penting bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran dan berdaya saing.
Peruntukan RM8 bilion untuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta RM500 juta melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi membiayai pelatih kemahiran turut dialu-alukan.
Bagaimanapun, FMM berkata, pelaburan dalam pendidikan dan TVET perlu turut meningkatkan kualiti program, inovasi kurikulum, keupayaan tenaga pengajar serta pendedahan praktikal kepada industri.
“Lebih banyak pembiayaan juga disaran disalurkan kepada program kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, robotik dan pembuatan pintar, selain memperkukuh kerjasama industri dengan institusi akademik serta menyediakan sokongan latihan yang mudah diakses PKS,” ujarnya.
Dalam pada itu, FMM mengalu-alukan semakan Elaun Pelaburan Semula (RA) dan berharap kriteria kelayakan yang lebih jelas serta insentif lebih mudah diakses dapat menggalakkan pengilang sedia ada melabur semula dalam automasi, teknologi canggih, pemodenan dan peluasan kapasiti.
FMM turut menyambut baik pengurangan satu mata peratusan kadar cukai pendapatan PKS kepada 14 peratus bagi RM150,000 pertama pendapatan bercukai dan 16 peratus bagi RM450,000 berikutnya, yang memberikan penjimatan cukai sehingga RM6,000 kepada setiap perusahaan yang layak.
Bagaimanapun, FMM mengulangi cadangannya supaya julat pendapatan bercukai yang menikmati kadar keutamaan diperluas kepada RM1 juta pertama pada kadar 15 peratus dan RM1 juta berikutnya pada kadar 17 peratus, dengan kadar 24 peratus dikenakan selepas itu.
Menurutnya, langkah tersebut dapat memberikan ruang kewangan lebih besar kepada PKS yang sedang berkembang untuk melabur semula, meningkatkan produktiviti dan mewujudkan pekerjaan bergaji lebih tinggi.
FMM turut mencadangkan supaya kelayakan ditentukan berdasarkan definisi PKS kebangsaan semata-mata dengan memansuhkan kriteria modal berbayar RM2.5 juta, bagi membolehkan pengilang yang memerlukan modal besar turut menikmati manfaat berkenaan.
Selain itu, FMM menggesa peruntukan RM15 juta kepada AI Malaysia Berhad digandakan bagi memperluas latihan dan pensijilan berkaitan industri, memperkukuh keupayaan AI tempatan serta membantu PKS meningkatkan produktiviti melalui penggunaan teknologi.
Kerajaan juga disaran memperkukuh akses pembiayaan perniagaan susulan peningkatan jumlah kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan kepada RM57 bilion pada 2027, termasuk jaminan RM32 bilion melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC).
FMM berkata, pembiayaan pada kos berpatutan, kriteria kelayakan yang jelas dan kelulusan tepat pada masanya penting bagi membantu pengilang melaksanakan automasi, menerima pakai teknologi serta memperluas kapasiti pengeluaran.
Dalam aspek transformasi digital, FMM kecewa kerana cadangan Pakej Sokongan Pembuatan Pintar bernilai RM1.5 bilion bagi tempoh 2027 hingga 2030 tidak diterima dalam Bajet 2027.
Menurutnya, ketiadaan pakej itu menyebabkan kekurangan geran khusus bagi membantu PKS sektor pembuatan menanggung kos awal penggunaan teknologi.
FMM turut menggesa kerajaan menanggung sepenuhnya kos penilaian kilang pintar di lokasi berjumlah RM8,000 di bawah Program Smart Tech-Up, selain menyediakan subsidi kadar faedah atau pembiayaan mudah pada kadar dua hingga empat peratus dengan tempoh pembayaran balik lebih panjang.
Langkah itu, katanya, dapat membantu pengilang mengatasi halangan kewangan dan teknikal serta mempercepat penggunaan kilang pintar di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Mengenai pembangunan industri serantau, FMM menyambut baik Dana Pelaburan Strategik RM100 juta bagi syarikat semikonduktor dan pembuatan termaju di Pulau Pinang, pembangunan LuMIC dan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Perak, serta pelaburan dalam TVET berteknologi tinggi di Melaka.
Bagaimanapun, FMM berpandangan potongan cukai bagi perbelanjaan perpindahan AHTV sehingga RM5 juta untuk tempoh 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030 mungkin hanya memberi manfaat kepada sebahagian kecil vendor automotif milik penuh tempatan.
Insentif itu juga mungkin tidak mencukupi untuk menampung kos perpindahan dan gangguan operasi yang besar.
Sehubungan itu, FMM mencadangkan sokongan lebih menyeluruh bagi pembangunan rantaian bekalan automotif, termasuk kepada vendor sedia ada yang menaik taraf operasi, selain pakej perpindahan yang lebih menarik.










