KUALA LUMPUR: PAS dan Barisan Nasional (BN) mencapai persetujuan asas berhubung kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun isu pembahagian kerusi dan pemilihan calon masih belum dimuktamadkan.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata sebahagian besar perkara dalam rundingan antara kedua-dua parti itu sudah dipersetujui, dengan hanya beberapa perkara penting masih memerlukan perbincangan lanjut.
Beliau berkata, jumlah kerusi yang akan ditandingi serta calon yang bakal diketengahkan masih dalam penelitian kedua-dua pihak.
“Pada dasarnya, sebahagian besar rundingan sudah mencapai persetujuan. Bagaimanapun, jumlah kerusi masih dalam perbincangan dan calon-calon juga akan dibincangkan,” katanya, lapor Utusan Malaysia.
Mengulas pemilihan calon, Hadi berkata nama-nama yang dibincangkan akan dibawa kepada Majlis Syura Ulama PAS untuk mendapatkan kelulusan sebelum keputusan dimuktamadkan.
Perkembangan itu menunjukkan rundingan kerjasama PAS-BN bagi menghadapi PRN Melaka semakin menuju ke arah penyelesaian, meskipun pembahagian kerusi yang menjadi antara perkara utama masih belum menemui kata putus.
Semalam, Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata gabungan itu dijangka bertanding lebih empat kerusi pada PRN Melaka bulan depan.
Beliau berkata, perkara berkenaan dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat menerusi rundingan bersama BN.










