Shuhaily Bakal Didakwa Cederakan Dua Anggota Polis Esok

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, bakal berdepan pertuduhan di Mahkamah Majistret Sepang esok berhubung dakwaan mencederakan dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, September lalu.

Menurut sumber, Mohd Shuhaily akan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada dua anggota polis dalam kejadian pada 28 September lalu.

Perkembangan itu menyusul selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pada 17 Oktober lalu mengesahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) memulangkan kertas siasatan kes berkenaan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, AGC meminta beberapa penambahbaikan dilakukan terhadap kertas siasatan sebelum keputusan lanjut dapat dibuat.

Katanya, polis perlu melengkapkan siasatan berdasarkan keperluan ditetapkan AGC bagi memastikan semua aspek berkaitan kes itu diteliti dengan sewajarnya.

“Kertas siasatan itu mengandungi kenyataan yang dirakam daripada saksi dan semua maklumat yang dikumpulkan sepanjang siasatan sebelum diserahkan kepada AGC.

“AGC perlu berpuas hati sepenuhnya dengan hasil siasatan sebelum membuat keputusan. Biasanya jika tidak berpuas hati, AGC akan memulangkan kertas siasatan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sehubungan itu, Saifuddin berkata, polis sudah diarahkan melengkapkan siasatan mengikut keperluan yang ditetapkan AGC.

Pertuduhan yang dijadualkan esok dijangka menjadi perkembangan penting dalam kes berkenaan, yang membabitkan seorang pegawai kanan agensi penguatkuasaan dan dua anggota polis.

Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

BBerkaitan

Latest articles