Had Umur Media Sosial Kepada Platform Permainan Dalam Talian Masih Dikaji

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menjalankan kajian bagi menilai keperluan memperkenalkan langkah kawal selia terhadap platform permainan dalam talian, termasuk kemungkinan memperluas had umur media sosial kepada perkhidmatan berkenaan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kajian itu dilaksanakan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF).

Menurutnya, kajian berkenaan meneliti perkembangan, risiko dan pendekatan kawal selia yang bersesuaian bagi perkhidmatan permainan dalam talian.

“Kajian ini merangkumi aspek keselamatan kanak-kanak, interaksi antara pengguna, ciri dan kandungan permainan serta langkah perlindungan yang dilaksanakan oleh pemberi perkhidmatan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang meminta penjelasan sama ada Kementerian Komunikasi bercadang memperluas had umur media sosial kepada platform permainan dalam talian yang mempunyai ramai pengguna kanak-kanak dan remaja.

Fahmi berkata, MCMC turut meneliti pendekatan serta amalan di peringkat antarabangsa bagi mengenal pasti langkah perlindungan yang bersesuaian dan berkesan.

Katanya, hasil kajian itu akan menjadi asas untuk menilai sama ada langkah atau pendekatan kawal selia tambahan perlu diperkenalkan terhadap platform permainan dalam talian.

Penilaian berkenaan turut mengambil kira konteks Malaysia, perkembangan industri, risiko yang dikenal pasti serta keberkesanan langkah perlindungan sedia ada.

Dalam perkembangan berkaitan, CMCF sedang mengadakan rundingan awam bagi membangunkan Sub-Kod Permainan (Gaming Sub-Code).

Proses itu melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk pengendali gedung aplikasi, pembangun permainan tempatan dan antarabangsa, pakar keselamatan dalam talian, industri e-sukan, pengamal undang-undang serta penyelidik.

Fahmi berkata, maklum balas yang diterima menerusi rundingan awam itu akan dipertimbangkan bagi menambah baik subkod berkenaan.

Beliau menegaskan, pendekatan tersebut penting bagi memastikan sebarang langkah kawal selia yang dipertimbangkan berasaskan bukti, bersesuaian dengan tahap risiko serta mengutamakan keselamatan kanak-kanak dalam persekitaran digital.

BBerkaitan

Latest articles