KUALA LUMPUR: Selain mengucapkan tahniah atas ‘perkahwinan’ antara UMNO-BN dan DAP, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim juga berpendapat sudah tiba masanya untuk Putrajaya menukar nama mereka daripada Kerajaan Perpaduan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) – UMNO.
“Kerajaan Perpaduan ini patut ditukar kepada kerajaan PH/UMNO@UMNO/DAP.
“Walau bagaimanapun tahniah UMNO sudah berkahwin dengan DAP. Selamat Pengantin Baru!,” ucap Shahidan dalam media sosialnya.
Sebelum ini, Shahidan pernah menyuarakan pandangannya bahawa tindakan UMNO-BN untuk bersama-sama di dalam Kerajaan Perpaduan di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tindakan yang mengecewakan akar umbi UMNO dan orang Melayu.
Ujarnya, pendirian itu jelas mengkhianati keputusan Majlis Kerja Tertinggi serta Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang tegas menyatakan bahawa tiada kerjasama akan dijalinkan dengan Anwar dan DAP.
Dalam hantaran yang sama juga, bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu juga terkilan dengan tindakan meminggirkan wakil Sabah dalam senarai Kabinet pimpinan Anwar.
“Saya sedih kerana Sabah dipinggirkan dari Kabinet Kerajaan Persekutuan,” katanya lagi.
Kenyataan itu ekoran keluhan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mengakui rasa “terpinggir” dalam pembentukan jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan berikutan tiada seorang pun daripada tujuh ahli Parlimennya dilantik sebagai menteri.
Bung Moktar berkata, hanya dua menteri yang mewakili negeri itu iaitu masing-masing dari Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) selaku komponen PH dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sahaja yang menganggotai Kabinet.