Selepas Diaibkan, Ditelanjangkan, Akhirnya Ini Pengadilan Buat Saya – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dilepas dan dibebaskan daripada 40 pertuduhan rasuah yang dihadapinya berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) pada hari ini, melahirkan rasa syukurnya dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Apatah lagi beliau sering dikritik dan dimalukan oleh pelbagai pihak sejak pertuduhan tersebut dikenakan ke atasnya.

Bercakap di sidang media, Ahmad Zahid juga menyebut bagaimana dirinya berdepan dengan pengadilan manusia terhadap perkara yang tidak dilakukannya.

“Alhamdulilah, saya panjatkan kesyukuran dengan keputusan dibuat oleh Yang Arif pada pagi ini. Walaupun saya harus reda dengan setiap pertuduhan yang telah dipalitkan ke atas saya, sesuatu yang tidak pernah saya lakukan.

“Saya sebelum ini telah diaibkan, dimalukan malah ditelanjangkan terlebih dahulu oleh ‘the court of public opinion’ tapi Alhamdulilah hari Jumaat penghulu segala hari telah menyaksikan pengadilan buat saya, perundangan telah ditegakkan demi keadilan. Ini juga kemenangan buat BN dan UMNO.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada pasukan peguam saya telah yang melaksanakan tanggungjawab mereka dengan adil dan cukup profesional. Saya juga hendak lahirkan penghargaan buat keluarga, para penyokong yang menyokong dari hari pertama. Ada yang sanggup datang sejauh Sabah untuk menemani saya.

“Juga kepada semua kepimpinan yang sentiasa menyokong saya. Tidak dilupakan juga kepada para wartawan yang telah membuat laporan sangat profesional dan seimbang,” katanya pada sidang media selepas kemenangannya hari ini.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd. Yazid Mustafa melepas dan membebaskan Ahmad Zahid daripada 40 pertuduhan rasuah dihadapinya selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

Ahmad Zahid berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Beliau turut berdepan tujuh pertuduhan lain mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1.15 juta, RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau ketika itu.

Namun dalam masa yang sama Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh kimi masih berdepan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

BBerkaitan

Latest articles