KOTA BHARU: Pemuda PAS Kedah mencabar Pemuda PAS Selangor untuk memastikan Ahli Parlimen Hulu Langat (Amanah), Sani Hamzan dan sekutu-sekutunya ditumbangkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Wakil pembahas Kedah, Ilyas Ahmad berkata, tindakan pimpinan parti berkenaan yang kerap bersuara lantang menyerang PAS tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan politik yang tegas.
”Kita nak cabar Dewan Pemuda PAS Selangor pada hari ini, pastikan Sani Hamzan tidak ada lagi di Selangor dalam pilihan raya yang akan datang.
”Bukan sahaja dia, tetapi kuncu-kuncunya yang lain dan mana-mana pihak yang menjadi penyambung mulut membela DAP,” katanya ketika membahaskan Ucaptama Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, hari ini.
Mengulas mengenai hala tuju Penyatuan Ummah, Ilyas mencadangkan pembentukan Piagam Persefahaman yang berteraskan keadilan serta menjadikan Islam sebagai pedoman utama.
Jelasnya, pimpinan pemuda perlu memulakan persefahaman tersebut bersama parti-parti politik Melayu-Islam lain tanpa mengabaikan prinsip perjuangan demi kebaikan ummah.
Dalam pada itu, beliau menegaskan sudah tiba masanya PAS mengemudikan kepimpinan di peringkat Persekutuan dan tidak lagi bertolak ansur menyerahkan jawatan nombor satu negara kepada pihak lain.
”Kita tidak mahu dengar lagi sebut tak apalah bagi orang lain jadi Perdana Menteri, kita tak mahu dengar dah.
“Kali ini kita nak pastikan PAS yang akan menjadi teraju utama di peringkat Persekutuan,” tegasnya.
Ilyas turut mendesak Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memainkan peranan lebih proaktif bagi memperkasakan kepimpinan pemuda di peringkat kawasan, terutamanya di negeri-negeri yang kini ditadbir parti berkenaan.
Menurutnya, pimpinan pemuda PAS terbukti berkaliber serta berkeupayaan menguruskan pentadbiran dan program besar, namun potensi mereka perlu terus ditonjolkan ke peringkat lebih tinggi.
”PAS mempunyai calon yang bersih dan berkaliber, namun program pembangunan pemuda serta penonjolan pimpinan pemuda perlu diperkasakan.
”Pendekatan terhadap pengundi kali pertama (first-time voters) dan kali kedua (second-time voters) juga perlu diperkemas agar mereka tidak sekadar mengikut gelombang, sebaliknya memahami dasar perjuangan parti,” katanya.
Di peringkat negeri Kedah, beliau menyatakan komitmen Pemuda PAS Kedah untuk mempertahankan 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada, di samping berusaha merampas baki tiga kerusi lagi pada pilihan raya akan datang.










