JEMPOL: Menteri Besar Kedah yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, bersetuju menghentikan penggunaan istilah UMDAP susulan kerjasama politik yang dimeterai antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang memaklumkan permintaan tersebut disampaikan kepada Sanusi dalam suasana santai dan penuh mesra sejurus selesai proses penamaan calon di Jempol, pagi tadi.
Menurut beliau, Sanusi menerima permintaan itu sebagai menghormati persefahaman yang dicapai antara BN dan PN, yang menyaksikan kedua-dua gabungan tidak bertembung sesama sendiri serta saling membantu bagi memastikan kemenangan calon masing-masing di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
“Saya minta beliau berbuat demikian (menarik balik istilah UMDAP) dalam suasana mesra dan saling berjenaka seusai proses Penamaan Calon di Jempol pagi tadi.
“Persefahaman yang terjalin antara Barisan Nasional (UMNO) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri Sembilan kali ini adalah untuk tidak bersaing, tidak bertindih kerusi serta saling bekerjasama memenangkan semua calon BN dan PN,” katanya menerusi hantaran di media sosial rasmi, hari ini.
Istilah UMDAP sebelum ini sering digunakan sebagai sindiran politik terhadap kerjasama UMNO dan DAP dalam Kerajaan Perpaduan, dengan gabungan nama kedua-dua parti itu dijadikan label oleh pihak lawan.
Dalam masa sama, Asyraf berkata kerjasama yang terjalin pada PRN Negeri Sembilan diharap menjadi titik permulaan kepada penyatuan lebih besar demi kepentingan umat serta kestabilan politik negara.
Beliau menegaskan bahawa dalam politik tiada musuh atau kawan yang kekal, sebaliknya semua pihak perlu berpegang kepada prinsip dan akhlak Islam dalam menjalinkan hubungan serta mengurus perbezaan.
“Moga-moga ia menjadi pencetus kepada suatu jajaran penyatuan ummah yang lebih besar dan bermakna,” katanya.
Asyraf turut menyeru semua pihak mengamalkan pendekatan sederhana sama ada ketika bekerjasama mahupun bersaing dalam arena politik.
Mengulas kempen PRN Negeri Sembilan, beliau berkata fokus utama bukanlah serangan politik, sebaliknya menawarkan dasar dan agenda terbaik kepada rakyat.
“Kita berkempen secara berhemah. Paling utama ialah apa yang kita hendak tawarkan kepada rakyat.
“Kita tawarkan yang terbaik untuk mereka. Asas kestabilan dapat dibina apabila wujud kerjasama dan kesefahaman antara parti-parti yang menjadi teras kepada orang Melayu dan orang Islam, demi kemakmuran serta kemajuan negeri,” katanya.










