Sekretariat Serah Aduan Kepada JHEAINS, Gesa Siasatan Isu Doa Khutbah Jumaat

SEREMBAN: Sekretariat Taat Setia Sokongan DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan memaklumkan telah membuat aduan rasmi kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) berhubung dakwaan berlakunya penyebutan nama individu yang didakwa tidak diiktiraf sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ketika bacaan doa dalam khutbah Jumaat.

Pengerusinya, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata, aduan bertulis itu diserahkan kepada Pengarah JHEAINS pada 1 Julai lalu, yang bertujuan meminta pihak berkuasa agama meneliti perkara berkenaan.

Menurut beliau, aduan tersebut turut menyentuh dakwaan mengenai penganjuran program jelajah oleh pihak tertentu yang dikatakan mengadakan solat Jumaat di beberapa lokasi sebelum menyebut nama individu berkenaan dalam doa khutbah.

Megat berkata, sekretariat berpandangan tindakan sedemikian berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam berhubung kedudukan institusi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.

Selain itu, katanya, tindakan berkenaan juga disifatkan sebagai tidak selari dengan usaha memelihara kemuliaan institusi diraja serta semangat keharmonian yang terkandung dalam aspek Raja, Agama dan Kaum (3R).

Sehubungan itu, sekretariat menggesa JHEAINS menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat sebarang pelanggaran terhadap peraturan atau undang-undang berkaitan.

Pada masa sama, mereka turut meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneliti perkara itu dan mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang jika wujud unsur yang memerlukan siasatan.

Megat juga berkata, sekretariat kekal menjunjung taat kepada DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, serta mempertahankan Perlembagaan dan adat istiadat negeri.

Beliau menegaskan penyerahan aduan itu dibuat sebagai usaha memastikan sebarang isu yang melibatkan institusi diraja dan urusan keagamaan dapat ditangani melalui saluran yang sah serta mengikut proses undang-undang.

BBerkaitan

Latest articles