KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyemak semula sasaran penganjuran Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) kepada 30,000 siri di seluruh negara sepanjang tahun ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sasaran awal yang ditetapkan sebelum ini adalah sebanyak 23,040 siri sahaja.
Namun, unjuran itu telah ditingkatkan susulan pengumuman pelan intervensi oleh Perdana Menteri pada Mei lalu bagi mendepani krisis tenaga serta bekalan kesan daripada Konflik Asia Barat.
Beliau memperincikan, bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini iaitu dari 1 Januari hingga 30 Jun, KPDN telah berjaya melaksanakan sebanyak 15,881 siri PJRM di seluruh negara.
”Secara keseluruhannya, pelaksanaan PJRM telah meliputi semua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan seluruh 40 Zon di Wilayah Persekutuan melibatkan Putrajaya, Kuala Lumpur, dan Labuan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) yang meminta KPDN menyatakan jumlah pelaksanaan terkini mengikut DUN serta kesediaan kementerian meningkatkan kekerapan program tersebut di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab isu kekerapan, Armizan menjelaskan bahawa penganjuran program intervensi ini menunjukkan trend peningkatan ketara saban tahun berikutan peruntukan tambahan yang disalurkan kerajaan.
Pada tahun 2023, sebanyak 6,870 siri dilaksanakan sebelum melonjak kepada 12,419 siri (2024) dan terus meningkat kepada 25,708 siri pada tahun lepas.
Bagi negeri Perak pula, beliau memaklumkan sebanyak 1,304 pelaksanaan direkodkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, termasuk 43 siri di peringkat Parlimen Kuala Kangsar yang melibatkan 21 siri di DUN Bukit Chandan dan 22 siri di DUN Manong.
Mengulas lanjut mengenai pembaharuan program, Armizan menegaskan bahawa bermula tahun 2023 di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, pengurusan jualan murah melibatkan kerajaan tidak lagi dibuat secara ad hoc, sebaliknya telah diperkukuhkan melalui lima pendekatan strategik.
”Pertama, kita telah menginstitusikan PJRM sebagai sebuah program tetap Kerajaan di mana bermula tahun 2024, ia dimasukkan ke dalam belanjawan tahunan dengan butiran kod aktiviti dan peruntukan khusus di bawah agenda Payung Rahmah,” jelasnya.
Pendekatan kedua melibatkan penetapan sasaran tahunan serta jumlah kekerapan yang jelas mengikut DUN dan zon, berbeza dengan kaedah lama yang hanya dilaksanakan mengikut keperluan semasa.
Bagi pendekatan ketiga, KPDN membuka luas ruang penglibatan sektor swasta, perniagaan, dan koperasi dalam sub-sektor peruncitan, yang menyaksikan sebanyak 2,695 rakan strategik terlibat setakat 29 Jun lepas.
Armizan menambah, pendekatan keempat pula memfokuskan kepada perluasan akses rakyat melalui kepelbagaian kaedah.
”Kita melaksanakan tiga kaedah iaitu dalam premis, luar premis (statik), dan PJRM bergerak serta penganjuran bertema seperti PJRM musim perayaan, Hari Gaji, dan Musim Buka Sekolah meliputi kawasan bandar, luar bandar, hingga ke pedalaman,” katanya.
Langkah pengukuhan itu diakhiri dengan pendekatan kelima iaitu pengenalan Takwim PJRM sejak tahun lalu bagi memberikan maklumat awal berhubung tarikh, masa, dan lokasi penganjuran di setiap DUN bagi memudahkan rakyat membuat perancangan pembelian lebih awal.
Beliau menegaskan kerajaan akan terus komited meningkatkan kekerapan program ini selaras dengan maklum balas positif yang diterima daripada seluruh lapisan masyarakat.










