Siti Hasmah Dikebumikan Di Pusara Negara Dengan Istiadat Pembesar Negara

KUALA LUMPUR: Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali akan diberikan istiadat pengebumian pembesar negara sebelum disemadikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Panglima Angkatan Tentera (PAT) untuk membantu menyelaras urusan pengebumian Allahyarham.

Menurutnya, penghormatan itu diberikan sebagai mengenang jasa dan sumbangan besar Allahyarham kepada negara sepanjang hayatnya.

Allahyarham Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) sekitar jam 9.25 pagi tadi pada usia 100 tahun.

Berdasarkan atur cara yang dikongsikan kepada media, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah untuk urusan penghormatan dan solat jenazah sebelum dibawa ke Putrajaya.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Pusara Negara selepas solat Asar.

Dalam pada itu, Anwar bagi pihak kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad serta seluruh keluarga atas kehilangan berkenaan.

Beliau berkata, negara akan sentiasa mengenang keperibadian Allahyarham yang disifatkan mempunyai sifat keibuan selain menghargai segala jasa dan bakti yang dicurahkan kepada masyarakat serta negara.

“Ingatan dan doa saya bersama Dr Mahathir Mohamad serta seluruh keluarga dalam menghadapi kehilangan ini.

“Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Almarhumah, menerima segala amal baktinya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles