Sanusi Hantar Surat Tuntutan Kepada Pemimpin PKR, Dakwa Ucapan Diputar Belit

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mengambil tindakan undang-undang terhadap Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Dr Sathia Prakash, selepas mendakwa kenyataannya ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan diputar belit sehingga mencemarkan reputasinya.

Menerusi surat tuntutan yang dihantar pada 27 Julai, Sanusi mendakwa beliau telah difitnah apabila Sathia mengaitkannya dengan dakwaan bahawa beliau menyeru masyarakat India “balik ke India” dan masyarakat Cina “balik ke China”, sedangkan kenyataan sedemikian tidak pernah diucapkan.

Peguam yang mewakili Sanusi, Mohd Faizi Che Abu, berkata anak guamnya hanya menjelaskan bahawa masyarakat Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu sebagai tanah air, manakala kaum lain mempunyai negara asal masing-masing.

Menurut beliau, ucapan tersebut telah disalah tafsir dan dipersembahkan di luar konteks sebenar sehingga menimbulkan persepsi bahawa Sanusi mempertikaikan kedudukan rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India.

Sehubungan itu, Sanusi menuntut Sathia mengemukakan aku janji bertulis dalam tempoh tujuh hari bagi menurunkan serta memadam semua kandungan berkaitan di platform TikTok, selain tidak menerbitkan semula kenyataan berkenaan pada masa hadapan.

Selain itu, Sathia turut diminta membuat permohonan maaf secara terbuka melalui akhbar, laman sesawang dan platform lain yang dipersetujui oleh Sanusi.

Surat tuntutan itu turut menggesa Sathia mencadangkan jumlah pampasan yang munasabah bagi menyelesaikan pertikaian tersebut secara baik.

Dalam perkembangan berkaitan, Sanusi memberi bayangan bahawa lebih ramai individu bakal menerima surat tuntutan kerana didakwa memanipulasi ucapannya sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan.

“Semoga tindakan ini menjadi pengajaran kepada semua,” katanya ringkas.

Pada Ahad lalu, Sathia mengakui berlaku kekhilafan apabila menggunakan perkataan “balik” ketika mengulas ucapan Sanusi yang menurutnya berpotensi membangkitkan sentimen perkauman.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kesilapan penggunaan perkataan itu tidak menjejaskan asas laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada 24 Julai terhadap pemimpin PAS tersebut.

Ketika berucap di Jempol minggu lalu, Sanusi dilaporkan berkata bahawa masyarakat Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu sebagai tempat asal mereka, manakala kaum lain mempunyai negara asal masing-masing seperti India, China, Kemboja dan Thailand.

Semalam, beliau sekali lagi menafikan ucapannya bertujuan mempersoalkan kewarganegaraan atau hak rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India.

Sebaliknya, Sanusi menegaskan rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India yang memiliki taraf warganegara tetap menikmati hak yang dijamin Perlembagaan serta mempunyai kesetiaan dan rasa kepunyaan terhadap negara ini.

BBerkaitan

Latest articles