PUTRAJAYA: Usaha terakhir Datin Seri Rosmah Mansor untuk menyingkirkan hakim yang mensabitkannya dalam kes rasuah projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion menemui jalan buntu apabila Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan semakannya.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi, bersama Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Ravinthran N. Paramaguru.
Azizah berkata, mahkamah mendapati permohonan Rosmah tidak memenuhi syarat di bawah Kaedah 137, Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 yang membolehkan semakan dibuat.
“Dengan itu, permohonan semakan ini ditolak,” katanya ketika menyampaikan keputusan.
Dalam penghakimannya, Azizah berkata panel berkenaan mendapati tiada sebarang kegagalan mahkamah dalam melaksanakan fungsi kehakimannya seperti didakwa oleh Rosmah.
Beliau menjelaskan, panel hakim yang mendengar rayuan terdahulu dilantik secara sah, hadir sepanjang prosiding dan berupaya sepenuhnya menjalankan tanggungjawab kehakiman pada setiap masa yang material.
Mahkamah turut menolak hujahan Rosmah bahawa haknya untuk mendapat perbicaraan yang adil telah dinafikan susulan dakwaan penghakiman perbicaraan yang disediakan Unit Penyelidikan dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi tanpa pengetahuan beliau serta peguamnya.
Menurut Azizah, isu berhubung dakwaan itu sebenarnya menyentuh merit rayuan dan bukannya alasan yang boleh dipertimbangkan melalui permohonan semakan di bawah Kaedah 137.
“Mahkamah ini dalam apa jua keadaan tidak boleh meletakkan dirinya seolah-olah sedang mendengar rayuan dan memutuskan kes atas kapasiti itu,” katanya.
Pada 3 Mac lalu, Mahkamah Persekutuan turut menolak rayuan akhir Rosmah untuk menggugurkan Datuk Mohamed Zaini Mazlan, yang kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan, selepas memutuskan tiada kesilapan undang-undang atau fakta yang cukup serius untuk membolehkan campur tangan dibuat.
Mahkamah ketika itu juga memutuskan Rosmah gagal membuktikan wujud bahaya sebenar bahawa Mohamed Zaini akan bertindak berat sebelah ketika mensabitkannya dalam kes berkenaan.
Rosmah diwakili barisan peguam Datuk Jagjit Singh, Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Amer Hamzah Arshad, manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah.
Pada 26 Ogos 2022, beberapa hari sebelum keputusan kes diumumkan, Rosmah memfailkan permohonan supaya Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar kes itu dengan alasan wujud keraguan terhadap integriti hakim susulan dakwaan kebocoran dokumen penghakiman yang disiarkan sebuah portal berita.
Beliau turut memohon prosiding digantung sementara sehingga siasatan terhadap dakwaan kebocoran itu selesai, selain meminta kes tersebut dibicarakan semula di hadapan hakim lain.
Bagaimanapun, pada 1 September 2022, Mohamed Zaini mensabitkan Rosmah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Beliau dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan yang diperintahkan berjalan serentak, selain didenda RM970 juta. Sekiranya gagal membayar denda itu, Rosmah berdepan hukuman penjara tambahan 30 tahun.
Rayuan Rosmah terhadap sabitan dan hukuman berkenaan dijadualkan didengar di Mahkamah Rayuan pada 1 September ini.










