KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) digesa segera campur tangan bagi meredakan kemelut dalaman Perikatan Nasional (PN) yang semakin memuncak susulan pertikaian kedudukan BERSATU dalam gabungan berkenaan.
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, berkata tindakan segera diperlukan bagi memastikan PN tidak didominasi atau dipergunakan oleh mana-mana parti demi kepentingan politik sendiri.
Menurutnya, sebarang keputusan membabitkan masa depan parti komponen PN perlu dibuat secara bersama melalui mekanisme yang ditetapkan dalam Perlembagaan PN, bukannya secara unilateral.
Beliau mendakwa terdapat tindakan yang seolah-olah menafikan hak parti anggota serta bercanggah dengan perlembagaan gabungan itu.
“Yang penting sekarang ialah ROS perlu bertindak segera supaya PN tidak dipergunakan sesuka hati oleh PAS untuk membuat keputusan secara unilateral sehingga menafikan hak mana-mana parti anggota.
“Keputusan Majlis Tertinggi PN mesti dibuat mengikut perlembagaan melalui mesyuarat dan bukan bergantung kepada campur tangan Presiden PAS,” katanya kepada Bernama hari ini.
Kemelut itu tercetus selepas Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, pada Jumaat lalu dilaporkan mendakwa BERSATU telah terkeluar secara automatik daripada PN susulan hasrat parti berkenaan membentuk gabungan politik baharu.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menolak dakwaan tersebut dengan menegaskan parti itu masih merupakan anggota sah PN.
Beliau dilaporkan berkata tiada peruntukan dalam Perlembagaan PN yang menetapkan keahlian sesebuah parti gugur secara automatik hanya disebabkan hasrat membentuk gabungan baharu.
Mohamed Azmin turut menegaskan Abdul Hadi tidak mempunyai kuasa veto untuk menentukan kedudukan BERSATU dalam PN.
Dalam pada itu, Tun Faisal menegaskan pengurusan PN tidak boleh tertakluk kepada kehendak satu pihak sahaja, sebaliknya perlu berlandaskan prinsip keadilan, ketelusan dan integriti.
“PN perlu ditadbir berdasarkan Perlembagaan PN dan bukannya mengikut telunjuk mana-mana pihak,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, ketika ditemui di Perak, berkata BERSATU masih merupakan anggota gabungan itu setakat ini.










