Ronnie Liu Cadang Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya Dilaksanakan

​KUALA LUMPUR: Pelaksanaan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya disifatkan sebagai langkah tepat pada masanya berikutan tempoh bertenang perlembagaan selama lapan tahun kini telah tamat.

​Bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu berkata, kelonggaran mengikut perundangan itu merupakan satu-satunya jendela undang-undang yang ada untuk merombak sempadan kawasan pilihan raya sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) berlangsung.

​Menurut beliau, langkah tersebut amat penting bagi membetulkan jurang ketidakseimbangan undi yang begitu ketara susulan pelaksanaan Undi18 serta pendaftaran jutaan pengundi baharu secara automatik.

​”Ia kritikal bagi memulihkan legitimasi pilihan raya, menegakkan prinsip ‘satu orang, satu undi’ selain menstabilkan landskap politik negara.

​”Langkah ini juga adil kerana mampu meratakan medan persaingan untuk semua parti politik dan seterusnya menghapuskan bias struktur yang sudah lapuk,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook.

​Ronnie menegaskan, sekiranya proses persempadanan baharu tidak dilaksanakan, PRU16 bakal dijalankan menggunakan sempadan lama yang membawa kepada nilai undi tidak saksama antara kawasan.

​Jelas beliau lagi, sistem pilihan raya di negara ini sepatutnya diasaskan kepada prinsip demokrasi yang saksama dan bukannya bersandarkan geografi pilihan raya yang usang.

​”Persempadanan semula ini bukanlah untuk memberi keuntungan kepada mana-mana parti politik tertentu, sebaliknya ia merupakan hak asasi yang perlu diberikan kepada setiap pengundi,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles