KUALA LUMPUR: Rundingan agihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mencetuskan perang mulut antara Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Ketua DAP Melaka, Khoo Poay Tiong selepas kedua-dua parti mengurangkan jumlah kerusi yang ditandingi.
Pertikaman lidah itu tercetus apabila Khoo mendakwa MCA kehilangan maruah kerana terpaksa akur kepada UMNO dan PAS dalam rundingan kerusi, sebelum Wee membidas DAP supaya bermuhasabah selepas menyerahkan kerusi Bemban kepada Bersatu.
Wee berkata, MCA sudah menjangkakan pengurangan kerusi pada PRN 14 November ini sebagai sebahagian kompromi yang perlu dilakukan dalam kerjasama politik.
Menurutnya, MCA sejak awal bersedia melepaskan beberapa kerusi bagi memberi ruang kepada rakan sekutu, termasuk ketika PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu.
Beliau turut mempersoalkan keputusan DAP tidak bertanding di Bemban sedangkan parti itu sebelum ini menyatakan hasrat untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
“Jika Bemban kerusi yang begitu baik, mengapa PH tidak meletakkan calon di sana? Mengapa tidak bertanding di semua 28 kerusi?” katanya, lapor Sin Chew.
Bagaimanapun, Khoo menegaskan DAP sejak awal menetapkan hanya akan bertanding di tujuh kerusi, termasuk tidak meletakkan calon di Bemban, selaras strategi pilihan raya gabungan itu.
Ahli Parlimen Kota Melaka itu berkata, keadaan DAP tidak boleh disamakan dengan MCA kerana partinya hanya melepaskan satu kerusi, berbanding tiga kerusi yang tidak lagi ditandingi MCA.
Malah, beliau mendakwa hampir separuh daripada tujuh kerusi yang ditandingi Bersatu menyaksikan pertembungan dengan calon PH, lapor Nanyang Siang Pau.
Khoo turut mengakui keputusan menyerahkan Bemban kepada Bersatu menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan akar umbi DAP, namun meminta mereka memahami keperluan kompromi demi strategi pilihan raya PH secara keseluruhan.
Untuk rekod, DAP bertanding di lapan kerusi pada PRN Melaka 2021, manakala MCA di tujuh kerusi.
Bagaimanapun, pada PRN kali ini, DAP hanya mempertaruhkan tujuh calon, manakala MCA bertanding di empat kerusi.










